Monday, April 7, 2014

GST lebih adil, telus


Publication: BM
Date of publication: Apr 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 016
Byline / Author: Oleh Shaarani Ismail

Ipoh: Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula April tahun depan akan membantu rakyat untuk membayar hanya satu bentuk cukai berbanding dua jenis cukai yang dikenakan sebelum ini yang tidak disedari pengguna.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, GST adalah cukai yang lebih adil dan telus kerana pengguna hanya membayar pada kadar 6 peratus di peringkat peruncitan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mengakibatkan pengguna membayar cukai bertindih dan berganda, malah ada yang mencecah hingga 10 peratus.

"Rakyat sebenarnya sebelum ini tidak sedar bahawa mereka sejak 1972 sudah membayar SST yang dikenakan, tetapi yang membezakan bayaran cukai berkenaan tidak dimasukkan dalam bil.

Kurang birokrasi

"GST juga mengurangkan birokrasi kerana ia adalah sistem cukai yang berkonsepkan kawalan kendiri dengan peniaga berdaftar tidak perlu membuat permohonan untuk kelulusan tuntutan cukai input daripada Kastam berbanding SST di mana peniaga perlu mendapatkan kelulusan pengecualian cukai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan milik firma perunding hartanah, Rahim & Co di sini, semalam.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Datuk Abdul Rahim Rahman, hadir sama.

Ditanya sama ada pelaksanaan GST pada April tahun hadapan akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barangan, Ahmad berkata memang akan ada kenaikan tetapi ia adalah minimum iaitu sekitar 1.8 peratus.

"Ia dijangka stabil semula selepas melalui pelbagai langkah dan perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment