Wednesday, April 16, 2014

Galas tugas berat


Publication: BH
Date of publication: Apr 15, 2014
Section heading: BH2
Page number: 009

Malaysia akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, mulai 1 April 2015.

Kadar GST sebanyak enam peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sesi pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, tahun lalu, sekali gus membantu negara menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat negara ini masih kurang faham mengenai sistem percukaian terbaharu itu, sekali gus menganggap pelaksanaan itu bakal menjadikan harga barang meningkat.

Timbalan Presiden Jualan Infor ASEAN, satu perisian aplikasi perniagaan, Helen Masters, mengakui menggalas tugasan berat untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Wanita berkelulusan Sains Komputer dari Macquarie University, Sydney, Australia ini bertanggungjawab menerokai produk baru seperti yang diinginkan pelanggan, sekali gus membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan.

Menerusinya, Infor sudah mengadakan jelajah beberapa kota besar termasuk Kuala Lumpur, Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Singapura, sepanjang Mac lalu manakala Bangkok, Thailand, mulai bulan ini.

Lima negara itu merangkumi 12 sesi pendidikan dan perbincangan yang meliputi amalan serta maklumat daripada pelanggan Infor sendiri. Acara di Malaysia itu juga disertai oleh rakan persidangan antarabangsa.

Helen berkata, Infor yang ditubuhkan sejak tahun 1994, kini mempunyai 700,000 pelanggan meliputi syarikat korporat di lebih 200 negara. Syarikat itu memberikan perkhidmatan untuk meningkatkan produktiviti dan meningkatkan potensi perniagaan.

Siri jelajah di negara ASEAN

"Siri jelajah itu bertujuan membantu sektor pembuatan, logistik dan perniagaan lain seumpamanya terus berkembang pesat.

"Justeru, sektor berkenaan memerlukan maklumat dalaman yang lebih baik dari segi kos dan operasi serta jangkaan masa depan dalam membuat perancangan yang lebih baik," katanya pada program Siri Jelajah Infor di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, dengan kedudukannya di tengah rantau ASEAN yang berkepadatan 500 juta penduduk, Malaysia menawarkan peluang besar bagi syarikat global, serantau dan tempatan menubuhkan operasi penghasilan serta pengedaran di negara ini.

"Infor Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu pertumbuhan jangka panjang global Infor dan kami tetap bersungguhsungguh dalam menyediakan teknologi yang canggih, mesra pengguna serta direka khas untuk prestasi tahap tinggi," katanya.

Peluang seimbang lelaki, perempuan

Helen berkata, negara Asia tidak ketinggalan memberi peluang kepada wanita menceburi bidang teknologi dengan purata tiga hingga empat wanita mengetuai pengurusan syarikat dan bidang berkaitan.

"Peluang pembabitan wanita itu bukan hanya di Malaysia, tetapi di Singapura dan negara serantau. Pengiktirafan ini memberi peluang kepada wanita untuk lebih berdaya saing dan berani menerokai perubahan.

"Saya sendiri sangat menyukai bidang ini kerana berpeluang menjalankan kerjasama dengan sektor pembuatan. Perisian perniagaan yang kami tawarkan digunakan hampir kesemua tempat," katanya.

No comments:

Post a Comment