Tuesday, April 22, 2014

GABEM bantu perjelas GST


Publication: BM
Date of publication: Apr 20, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 017

Kota Bharu: Lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), akan digerakkan memberi penerangan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada orang ramai khususnya pemain industri.

Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata walaupun kerajaan sudah melaksanakan usaha penerangan mengenai GST membabitkan kementerian dan agensinya, GABEM mampu memainkan peranan penting menjayakan GST itu.

"Memandangkan lebih 200 NGO di bawah GABEM terbabit dalam sektor ekonomi, mereka mampu membantu mempercepatkan proses penerangan kepada pihak tertentu sekali gus melancarkan usaha pelaksanaan GST tahun depan.

"GABEM juga bertanggungjawab untuk memastikan GST dapat difahami dengan jelas oleh sektor ekonomi di negara ini khususnya membabitkan usahawan tempatan yang manfaatnya akan dinikmati semua rakyat dan bukannya pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keusahawan GABEM dan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Suara Wanita Malaysia (WANITRA), di sini, semalam. Hadir sama, Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Rancak beri penerangan

Rahim berkata, majlis penerangan mengenai GST kini sudah rancak dilaksanakan di seluruh negara dengan menyaksikan UMNO serta pemimpin NGO lain serius menyampaikan penjelasan mengenai cukai berkenaan di peringkat bawahan.

"Saya yakin, menjelang tahun depan sekiranya digembleng sepenuh tenaga dengan membabitkan NGO serta sektor kerajaan dan agensinya memberi penerangan tepat mengenai GST, ia akan diterima dengan baik rakyat serta pemain industri nanti," katanya.

Sementara itu, Fatmi menyelar sikap sesetengah bijak pandai yang memahami mengenai GST, tetapi bertindak sebaliknya dengan memutarbelitkan fakta sehingga mengeliru serta menakutkan rakyat.

"GST ini adalah sistem percukaian yang lebih adil, yang tidak membebankan rakyat. Namun, tindakan pihak tertentu yang memesongkan fakta amat dikesali," katanya.

No comments:

Post a Comment