Friday, March 21, 2014

'Rakyat jangan terpedaya'


Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
pengarang@utusan.com.my
ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Hasan Malek (tiga dari kanan)
memotong riben sebagai gimik Perasmian KR1M di Kompleks Kajang Sentral,
Hulu Langat, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Alias Ahmad (dua dari kanan) dan
Mohd. Hashim Abdullah (kiri). - BERNAMA

HULU LANGAT 20 Mac - Rakyat diingatkan supaya tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang sengaja mengaitkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan kos sara hidup.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan GST berkuat kuasa tahun hadapan dijamin tidak membebankan rakyat seperti didakwa oleh pembangkang berikutan barangan makanan asas tidak terlibat dengan cukai itu.

Katanya, tuduhan yang dibuat pembangkang itu lebih kepada untuk mengelirukan rakyat supaya menyalahkan kerajaan sekali gus meraih sokongan buat mereka.

"Sebelum ini, kerajaan sudah mengumumkan bahawa GST tidak membabitkan barangan makanan asas dan antara lain perkhidmatan pengangkutan, pendidikan dan kesihatan serta jual beli dan sewaan rumah.

"Jadi mengapa rakyat perlu risau dengan khabar angin. Ini merupakan helah pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memberi kenyataan tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Kajang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Sempena majlis itu, KPDNKK dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai penjualan barangan basah di KR1M.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin hasil produk tempatan boleh mencapai tahap sara diri (SSL) menjelang 2020 dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import.

Jelasnya, perkara itu amat penting bagi merangsang pertumbuhan industri pertanian negara selain dapat meningkatkan hasil pemasaran petani tempatan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua tanaman ataupun sayuran mampu mencapai tahap berkenaan berikutan terdapat faktor lain yang perlu diteliti antaranya cuaca.

"Kami melihat sektor makanan sangat bergantung kepada import sedangkan negara ini mampu menghasilkan beberapa produk yang sama.

"Dengan persekitaran ekonomi global amat mencabar ketika ini, produktiviti dan daya saing negara juga perlu ditingkatkan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment