Thursday, March 20, 2014

Peruncit perlu kuasai sistem GST


WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mac 2014
Hai Hsin (kiri) dan Kwok (tengah) ketika program sesi
penerangan media mengenai Goldsoft GST, di Kuala Lumpur, semalam.
PERUNCIT perlu berdaftar untuk mempelajari dan menguasai sistem pangkalan data cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang baharu, sekurang- kurangnya enam bulan sebelum dilaksanakan pada 1 April 2015.

Presiden Persatuan Peruncit Rantaian Malaysia (MRCA), Datuk Nelson Kwok berkata, penguasaan terhadap sistem baharu itu penting untuk memastikan peruncit bersedia menghadapi pelaksanaan GST, bagi mengelakkan daripada berdepan dengan pelbagai masalah aliran tunai dan tuntutan lain.

“Sekiranya mereka lambat berdaftar dan mempelajari sistem pangkalan data itu, dikhuatiri mereka tidak dapat menguasainya dengan baik dan akan menimbulkan kesulitan,” katanya sempena sesi penerangan media mengenai Goldsoft GST, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, GST akan membolehkan perniagaan runcit untuk menjadi lebih kompetitif di peringkat global kerana tidak ada GST akan dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dieksport, sekali gus membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya ingin menggalakkan semua peruncit terutamanya ahli-ahli MRCA membuat persediaan bagi pelaksanaan GST. Mereka perlu mempunyai sistem yang betul bagi mendapat dan menghasilkan maklumat perakaunan untuk tujuan laporan cukai yang tepat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Peruncit Malaysia, Tan Hai Hsin berkata, pertumbuhan ekonomi pada 2014 untuk industri runcit dijangka enam peratus dan mungkin lebih rendah pada 2015 kerana peralihan perniagaan untuk GST.

“Kesemua sektor perniagaan akan merasai kesan pelaksanaan GST tahun depan pada peringkat permulaan. Selepas ia dilaksanakan, perniagaan akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Goldsoft adalah pembekal penyelesaian pengurusan runcit perusahaan bersepadu dengan sokongan GST. Sehingga kini, pelanggan Goldsoft termasuk 220 jenama fesyen di pusat membeli-belah utama di Malaysia, Singapura dan Thailand.

No comments:

Post a Comment