Tuesday, March 11, 2014

Langkah kurang defisit sejajar matlamat imbangi belanjawan


Publication: BH
Date of publication: Mar 7, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 002

Perbelanjaan awam lebih rendah, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pengurangan beberapa subsidi utama adalah sebahagian rancangan kerajaan untuk mengurangkan defisit awam kepada kurang daripada tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015.

Laporan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), menyebut rancangan itu sejajar dengan matlamat mengimbangkan belanjawan menjelang 2020.

"Dengan tumpuan Kerajaan Malaysia untuk mengurangkan defisit, berkemungkinan besar potongan subsidi selanjutnya adalah ke atas makanan atau bahan api, atau peningkatan cukai jualan akan dilaksanakan.

"Semua langkah ini akan menambahkan inflasi yang sudah sedia dilonjakkan hasil pemansuhan subsidi gula, dan akan bertambah berikutan langkah melaksanakan GST enam peratus tidak lama lagi," kata firma perakaunan dan badan kewangan terkemuka itu.

Laporan itu yang membentangkan tinjauan suku tahunan dengan tumpuan kepada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, menyediakan gambaran semasa mengenai prestasi ekonomi rantau bagi 142,000 anggotanya.

Hasil tuai lumayan

Mengulas laporan berkenaan, Ketua Anggota Ekonomi ICAEW, Douglas McWilliams, berkata satu berita baik ialah harga makanan dunia sedang menurun disebabkan hasil tuaian lebih lumayan.

"Perkara ini mengimbangi sedikit kesan inflasi akibat penarikan balik subsidi dan GST," katanya.

Beliau berkata, di seluruh rantau, permintaan terhadap tenaga meningkat lebih pantas berbanding pengeluaran domestik dan pengembangan ekonomi berterusan bermakna negara berkenaan menjadi semakin bergantung kepada pasaran tenaga antarabangsa untuk memenuhi keperluan.

"Harga bahan api adalah faktor utama pencetus inflasi di rantau ini. Bagaimanapun, kejatuhan harga minyak dunia antara 2014 dan 2016 - serta kemasukan Iran ke pasaran tenaga dunia - seharusnya membantu meredakan tekanan inflasi," kata McWilliams.

Menurut laporan itu, kerajaan negara ASEAN juga dijangka terus memberi tumpuan kepada usaha mengekang perbelanjaan awam sebagai usaha mengurangkan paras hutang dan menaikkan keyakinan pelabur di rantau ini.

Ini sebab utama negara seperti Malaysia dan Indonesia beransur-ansur mengurangkan subsidi utama untuk meyakinkan pelabur kredibiliti kewangan negara mereka.

No comments:

Post a Comment