Wednesday, March 26, 2014

Kos sara hidup terkawal walau banyak rungutan, kata Idris Jala

OLEH MD IZWAN
MARCH 25, 2014

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pemandu, Datuk Seri Idris Jala bercakap ketika Siri Global Malaysia di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Mac, 2014.Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menyifatkan peningkatan kos sara hidup masih terkawal walaupun terdapat banyak rungutan daripada orang ramai.

Idris mengakui langkah pemotongan subsidi oleh Putrajaya mengakibatkan kesan kepada kenaikan harga barangan, bagaimanapun menegaskan ia masih terkawal ketika ini.

"Setiap langkah ada kesannya, ia langkah perlu walaupun tidak popular.

"Walaupun ia menyebabkan perdana menteri tidak popular, langkah ini diperlukan," katanya merujuk kepada pemotongan subsidi yang dilakukan oleh Putrajaya semasa menghadiri forum anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Damansara, hari ini.

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jatuh paling rendah sejak memegang jawatan itu dengan ratingnya jatuh daripada 62% pada Ogos lalu ke 52% pada Disember tahun lalu, menurut kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Center.

Penurunan populariti Najib ekoran kesan pemotongan subsidi yang diumumkan oleh Putrajaya.

Idris berkata, Indeks Harga Pengguna (CPI) pada kadar 3.5% bulan menunjukkan harga barangan masih lagi terkawal dan tidak seteruk yang dijangkakan.

"Kadar 3.5% CPI pada Februari adalah lebih rendah berbanding negara serantau lain.

"Walaupun terdapat banyak rungutan, bertenanglah kerana dunia belum kiamat. Ia masih terkawal, ia hanya pada kadar 3.5%," katanya yang juga pengerusi Pemandu.

CPI meningkat 3.5% kepada 109.8 pada Februari 2014 berbanding 106.1 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Berbanding Januari, CPI pada Februari meningkat 0.3%.

Peningkatan 3.5% dalam CPI disebabkan kenaikan indeks semua kumpulan utama kecuali barangan dan perkhidmatan (-0.8%) dan komunikasi (-0.5%).

Peningkatan jelas di kalangan kumpulan itu adalah pengangkutan (5.4%); makanan dan minum tanpa alkohol (4.0%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain (3.4%).

Putrajaya selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 lalu mengambil langkah pengukuhan fiskal bagi memastikan sasaran untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.

"Kita mensasarkan menurunkan defisit kepada 3.5 % pada hujung tahun ini dan 3% pada tahun depan," katanya.

Putrajaya mengambil langkah fiskal pertama dengan memotong subsidi petrol sebanyak 20 sen pada September lalu atas alasan ia mampu menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion belanja kerajaan tahun ini.

Kemudian, semasa pembentangan Bajet 2014 Putrajaya juga mengumumkan penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen di samping penstrukturan semula subsidi kepada penjana kuasa yang menyebabkan tarif elektrik bakal naik sebanyak 15%.

Selain itu, Putrajaya juga akhirnya memperkenalkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 2015 bertujuan memperluas sumber pendapatan negara.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, hutang negara meningkat kepada 53.3% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada penghujung 2012 daripada 51.6% pada hujung 2011 dan 39.8% pada hujung 2008. - 25 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment