Tuesday, March 11, 2014

Kepentingan negara, kesejahteraan rakyat jadi tanggungjawab


Publication: BH
Date of publication: Mar 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 032

Sejak beberapa bulan lalu, ekonomi Malaysia menjadi topik hangat. Semua orang bercakap mengenai subsidi, tol dan cukai. Ahli politik dan golongan cerdik pandai membuat pelbagai kenyataan mengapa harga semakin meningkat atau apa yang perlu dilakukan.

Saya faham rakyat berasa tertekan daripada kenaikan kos. Begitu juga perniagaan. Saya menyedari rakyat mendapati harga semakin naik, namun mereka tidak mengetahui puncanya. Saya juga sedar sesetengah orang berpendapat melakukan terlalu banyak dan terlalu pantas dari segi pembaharuan.

Itu sebabnya saya mahu mengambil peluang ini untuk bercakap secara terus dengan rakyat. Hari ini, saya akan menjelaskan cabaran yang dihadapi negara, mengapa kerajaan perlu bertindak dan apa yang dilakukan untuk membantu. Saya akan menunjukkan cara bagaimana kerajaan membangunkan Malaysia yang lebih kukuh dan makmur.

Sejak Merdeka, pembangunan ekonomi menyediakan peluang pekerjaan dan prospek lebih cerah untuk rakyat Malaysia. Kita lebih sihat, memperoleh pendidikan lebih baik dan lebih berkemampuan berbanding sebelumnya.

Pelan strategik negara

Ini semua dicapai hasil kerja keras, semangat keusahawanan dan komitmen rakyat berserta perancangan baik dan penyampaian berkesan oleh kerajaan. Berdasarkan sejarah negara, kerajaan telah memacu pertumbuhan negara menerusi pelan strategik bagi memastikan ekonomi berada pada kedudukan yang baik.

Pendekatan ini berjaya. Sejak 30 tahun lalu, kadar kemiskinan secara menyeluruh turun 97 peratus. Kita berjaya membasmi kemiskinan tegar. Jangka hayat telah meningkat sebanyak tujuh tahun; purata persekolahan sudah meningkat sebanyak lima tahun. Sejak 1992, pendapatan isi rumah meningkat tiga kali ganda. Kita sudah benar-benar membuat perubahan - dari segi prospek rakyat biasa sehinggalah kepada kehidupan golongan paling miskin dalam masyarakat.

Namun kemajuan ada harganya. Sejak berdekad lalu perbelanjaan subsidi kerajaan telah meningkat. Pada 2010, kita membelanjakan 15 peratus daripada jumlah bajet bagi subsidi dan insentif. Pada 2012, angkanya sudah mencecah 21.4 peratus atau RM44 bilion.

Berikutan peningkatan dalam harga pasaran, kos subsidi juga turut meningkat. Kebanyakan subsidi ini pula adalah subsidi menyeluruh yang bermakna semua orang menerimanya termasuk rakyat asing, golongan perniagaan dan jutawan. Ini sudah tentunya tidak adil. Mengambil contoh subsidi petrol, lebih besar kereta, lebih banyak manfaat yang dinikmati.

Ini bermakna, wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina hospital atau sekolah, digunakan untuk membayar bahan api lebih murah untuk pelancong dan pekerja asing. Kosnya pula semakin meningkat. Pada 2009, defisit bajet - iaitu perbezaan antara apa yang kita dapat dan yang kita belanjakan adalah sebanyak enam peratus. Kos subsidi adalah antara faktor yang meningkatkan defisit.

Defisit bajet itu sendiri bagaimanapun tidak selalunya negatif. Malaysia berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, dan ia tidak menghalang kita untuk membangun. Banyak juga negara yang berjaya seperti Jepun mempunyai hutang yang tinggi.

Kesan negatif krisis kewangan

Namun ada masanya hutang dan defisit boleh menimbulkan situasi bahaya. Seperti yang kita pelajari daripada krisis 1997, perubahan berlaku dengan pantas. Jika prestasi ekonomi global lemah, orang akan berfikir dua kali untuk melabur di negara yang mempunyai defisit terlalu besar. Dan jika pihak yang meminjamkan wang menganggap sesebuah negara tidak mampu membayar hutang, mereka akan mengenakan kadar faedah yang tinggi. Lebih buruk lagi jika sentimen tidak memihak kepada negara itu, ia boleh mencetuskan pengaliran keluar modal - dan dalam dunia yang saling berhubungan ketika ini, ia boleh berlaku dalam sekelip mata.

Apabila ini berlaku, kesannya adalah begitu teruk. Dalam krisis kewangan baru-baru ini, penarafan kredit beberapa negara di Eropah diturunkan. Kos pinjaman meningkat, dan hutang melambung di luar kawalan, menakutkan pelabur asing dan memberikan tekanan kepada mata wang. Dan rakyatlah yang paling teruk menderita.

Mereka hilang pekerjaan - di beberapa negara Eropah, satu dalam tiga penduduk menganggur. Mereka hilang jaringan keselamatan apabila kerajaan terpaksa mengurangkan pembiayaan untuk kebajikan rakyat. Dan mereka hilang kebebasan kerana terpaksa melepaskan kawalan ekonomi kepada IMF.

Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama saya ialah untuk melindungi rakyat Malaysia. Saya tidak akan membenarkan kemajuan negara, kesejahteraan rakyat, atau kedaulatan negara terancam. Sebab itulah kerajaan bertindak untuk mengawal kewangan negara.

Empat tahun lalu, kerajaan mula melakukan pembaharuan dalam pemberian subsidi, mengurangkan bayaran untuk gula dan bahan api. Penjimatan itu kita gunakan bukan saja untuk mengurangkan defisit bajet - malah untuk membuka klinik 1Malaysia, dan menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada yang bersasar, kita mengalihkan wang itu untuk digunakan bagi kesihatan awam dan pendidikan serta kemudahan infrastruktur yang sangat diperlukan di bandar dan luar bandar.

Namun, kos subsidi terus meningkat, dan adalah jelas bahawa kedudukan ekonomi Malaysia menjadi tidak mampan. Pelabur, bank dan agensi penarafan mula memberi fokus terhadap hutang, defisit dan perbelanjaan untuk subsidi Malaysia.

Mungkin mudah untuk mengatakan `kita tidak perlu bimbang mengenai apa yang difikirkan oleh penganalisis asing - kita hanya perlu menumpukan kepada usaha untuk membantu rakyat. Tetapi ini akan mengetepikan isu kritikal.

Jana pembangunan negara

Seperti negara lain, kita perlukan pelaburan untuk berjaya. Pelaburan asing dan domestik membantu perniagaan Malaysia berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi. Ia membantu membina latar langit Kuala Lumpur, tebingan pantai Iskandar Malaysia dan taman perindustrian Kuantan. Ia membantu kita membina landasan kereta api dan lebuh raya yang membolehkan kita bergerak ke seluruh negara. Pelaburan juga mewujudkan beratus ribu pekerjaan dengan gaji tinggi, apabila firma antarabangsa membuka kilang, pejabat dan ibu pejabat di Malaysia. Pelaburan asing dan domestikan adalah penting. Kita perlu memastikan kita terus menarik mereka.

Seperti negara lain, kita juga meminjam wang untuk membuat pembayaran seperti membina jalan baharu atau hospital. Kita membiayai perbelanjaan ini dengan menjual bon kerajaan; iaitu janji yang kita akan membayarnya kemudian.

Seperti negara lain juga, kita mesti bertindak untuk mengukuhkan kewangan. Berikutan pelaburan dan pinjaman bergantung kepada satu perkara, iaitu keyakinan, maka mereka yang melabur di Malaysia, atau membeli bon kita perlu mempunyai keyakinan bahawa Malaysia adalah negara yang mampu membayar hutangnya.

Ini bermakna, kita perlu menunjukkan bahawa kita boleh membuat keputusan yang sukar dan perlu untuk menurunkan hutang dan perbelanjaan, dan menambah pendapatan. Dan kerana itu pada September tahun lalu, kerajaan mengumumkan langkah lanjut untuk menyusun semula program subsidi, dan memperkenalkan GST - bukan serentak, tetapi program berperingkat bagi mengukuhkan kewangan negara.

GST adalah cukai enam peratus ke atas barang dan perkhidmatan yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, dan bukan menambah kepada kadarnya berbanding tanggapan sesetengah pihak.

Banyak barang dan perkhidmatan akan dimasukkan dalam GST, tetapi banyak juga yang akan dikecualikan - termasuk makanan asas seperti beras, tepung dan minyak serta perkhidmatan penting seperti bekalan air di rumah dan pengangkutan awam.

Pelbagaikan aliran pendapatan

Daripada 193 negara di dunia, 160 telah melaksanakan GST atau VAT. Kita memerlukan cukai baharu yang lebih adil ini memandangkan hanya satu dalam 10 rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan. Jika ekonomi kita hendak terus berkembang kukuh, kita bukan sahaja perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, malah mempelbagaikan aliran pendapatan bagi membolehkan kita untuk melabur untuk masa depan. GST akan membolehkan kita meningkatkan perbelanjaan pembangunan.

Daripada hanya membayar untuk subsidi, kita boleh menggunakan lebih banyak wang untuk pelaburan yang produktif - ke atas infrastruktur, sekolah, dan penjagaan kesihatan

Saya tidak memandang ringan ketika mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi - atau untuk memperkenal GST. Saya berfikir panjang dan mendalam tentang risiko, dan kesan yang mungkin timbul kepada rakyat. Namun saya memutuskan bahawa kerajaan perlu bertindak untuk menjamin masa depan, keselamatan, kebebasan dan pertumbuhan negara dapat dikekalkan.

Malaysia sedang dalam perjalanan. Destinasinya jelas: status negara maju dan berpendapatan tinggi. Seperti mana-mana perjalanan, mungkin ada beberapa halangan di sepanjang jalan. Kita mungkin perlu menyesuaikan laluan bagi mengelakkan halangan. Namun destinasi kita tidak berubah.

Apabila Kabinet meluluskan pembaharuan subsidi, kami melakukannya hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi. Dan kita melakukannya dengan mata tertumpu kepada destinasi kita.

Mentadbir adalah sesuatu yang membabitkan membuat keputusan yang betul untuk esok dan bukan hanya untuk hari ini. Kegagalan untuk bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai ahli politik, memang mudah untuk menabur janji manis, menawarkan apa sahaja yang dikehendaki rakyat, dan menangani akibatnya kemudian. Namun kepimpinan adalah untuk membuat apa yang betul dan bukan apa yang mudah. Jika kita silap membuat keputusan sekarang, pembangunan akan terjejas. Saya bersedia untuk meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek saya. Dan saya yakin pembaharuan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya.

Dalam tahun-tahun sukar, kerajaan telah mengekalkan ekonomi kita dalam keadaan selamat dan kukuh. Apabila saya mengambil alih jawatan, dunia sedang menghadapi krisis kewangan yang sukar. Banyak negara di ambang bencana. Namun ekonomi negara terus berkembang. Sejak 2009, KDNK kita berkembang pada kadar purata 5.7 peratus setiap tahun, dan pendapatan isi rumah 24 peratus lebih tinggi.

Pembaharuan subsidi terkini disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan. Defisit bajet kita turun: ia kini pada 3.9 peratus, iaitu lebih rendah daripada sasaran kita sendiri. Kita kini dalam perjalanan ke arah bajet seimbang pada 2020. Dan walau apa pun yang diperkatakan oleh penganalisis politik, ekonomi Malaysia terus berkembang.

Dagangan catat rekod tertinggi

KDNK meningkat 5.1 peratus pada suku yang lalu - lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Jualan runcit, pembinaan, perdagangan dan eksport, semuanya meningkat. Tahun lalu menyaksikan dagangan mencatatkan rekod, iaitu tertinggi dalam sejarah. Begitu juga dalam pelaburan asing, yang mengembangkan perniagaan Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia.

Pertumbuhan dan pelaburan ini menambah bilangan pekerjaan dan peluang baharu. Berikutan angka yang tinggi itu, kehidupan isi rumah Malaysia juga bertambah baik, gaji purata terus meningkat dengan gaji tahun lalu meningkat secara purata sebanyak enam peratus, lebih tinggi daripada inflasi pada 2.1 peratus.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan kini semakin baik. Namun saya tahu bahawa ia tidak selalunya dirasakan begitu. Dan saya memahami bahawa cakap-cakap mengenai pertumbuhan KDNK dan arah aliran ekonomi mungkin kelihatan tidak relevan ketika isi rumah cuba untuk memenuhi kos kehidupan. Jadi biar saya jelaskan apa yang sedang kita lakukan untuk membantu.

Pertama, kerajaan akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup. Tahun ini, kerajaan akan membelanjakan lebih RM40 bilion untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan, dan sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang.

Tahun ini, pembayaran BR1M mencecah 7 juta rakyat Malaysia, termasuk buat pertama kalinya mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan. BR1M adalah adil dan progresif - ia diberikan atas dasar keperluan sahaja, dan ia memenuhi matlamatnya. Sejak pembayaran terakhirnya, pendapatan bulanan kira-kira 17,000 rakyat telah meningkat, dan mereka telah keluar daripada golongan berpendapatan rendah.

Tampung kos sara hidup

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan meningkatkan BR1M kepada RM1,200 setahun, untuk membantu menampung kos hidup yang meningkat. Kerajaan menawarkan bantuan kewangan sehingga RM30,000 untuk membina rumah kos rendah baharu yang dibina menerusi skim Myhome, untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendiami rumah moden yang lebih selamat. Kerajaan membuka kedai-kedai 1Malaysia untuk membantu kos barangan asas, dan klinik 1Malaysia untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berpatutan. Kerajaan telah memperkenalkan gaji minimum, untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan menjamin standard asas kehidupan.

Kerajaan juga membantu isi rumah berpendapatan sederhana, menerusi pengurangan cukai satu peratus dan pengecualian cukai RM2,000 bagi mereka yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan. Dan kami sedang berunding dengan majikan untuk memastikan mereka memainkan peranan. Pekerja Malaysia membawa pulang sekitar satu pertiga daripada KDNK sebagai gaji; dalam ekonomi maju, angkanya hampir kepada separuh. Rakyat dan kerajaan melabur untuk masa depan Malaysia - syarikat mesti turut serta dan membuat sumbangan dengan memastikan jurang gaji antara anggota lembaga pengarah eksekutif dan di pekerja kilang tidak meningkat.

Tingkat pendapatan graduan

Dan ketika lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran tinggi, kita telah memulakan siri projek intensif untuk membantu graduan memulakan kerjaya mereka. Dalam jangka hayat mereka, siswazah akan memperoleh gaji lebih tinggi berbanding bukan siswazah, namun agak sukar untuk memadankan kemahiran dengan keperluan. Justeru, kerajaan melaksanakan program seperti Skim Latihan 1Malaysia dan SAY 1 Malaysia, untuk meningkatkan kemahiran graduan dan mempersiapkan mereka untuk mula bekerja.

Kita juga menumpukan usaha untuk menjadikan kerajaan lebih cekap. Ketua Setiausaha Negara sedang bertindak berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012: mengurangkan kos bekalan elektrik kerajaan sebanyak lima peratus, mengurangkan kos pengangkutan dan memotong bajet keraian untuk Menteri. Dan kecekapan kita secara keseluruhannya semakin meningkat menerusi program transformasi kerajaan.

Kerajaan juga meningkatkan usaha dalam memerangi rasuah. Rasuah sudah lama wujud dan memeranginya menjadi keutamaan saya. Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara dalam usaha ini, kita mesti bekerja bersama-sama merentas jurang politik untuk menjadikan rasuah tidak diterima masyarakat. Dalam kerajaan, sebagai contoh, perolehan kini kebanyakannya melalui tender terbuka dan proses bidaan berdaya saing. Rasuah perlu ditangani di semua peringkat - bukan sahaja `ikan besar', malah rasuah peringkat rendah yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

Ada yang mengatakan jika kita dapat menghapuskan sepenuhnya rasuah - semalaman - kita tidak memerlukan pembaharuan subsidi atau GST. Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh memetik jari dan rasuah lenyap dalam sehari, sebulan atau setahun. Oleh itu kita mesti menangani rasuah, menyusun semula subsidi dan memperkenalkan GST untuk mencapai bajet seimbang.

Lindungi kepentingan pengguna

Hong Kong sebagai contohnya. Pada 1970-an, ia dibelenggu rasuah; hari ini ia adalah antara bandar raya di dunia yang tahap rasuahnya paling rendah. Namun kejayaan ini mengambil tempoh berdekad lamanya. Ya. kita mesti menangani rasuah dan ya kita mesti menyusun semula kewangan. Kecuali kita sama-sama bertindak, ekonomi akan lemah dan pelabur dan peminjam akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia.

Kerajaan juga berusaha secara terus menangani kenaikan harga. Langkah yang kita ambil sudah mula membuahkan hasil. Dan kami memantau pasaran dengan teliti untuk memastikan tidak berlakunya kenaikan harga keterlaluan. Jika mendapati harga meningkat lebih tinggi daripada sepatutnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk campur tangan dan melindungi pengguna Malaysia. Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan terus melindungi proses persaingan untuk manfaat perniagaan, pengguna dan ekonomi.

Kerajaan juga sedang menyediakan tenaga kerja untuk memacu industri baharu. Program transformasi kerajaan bukan sekadar angka; ia membabitkan usaha untuk mewujudkan pekerjaan baharu dan menyiapkan rakyat untuk merebut peluang baharu yang muncul. Enam puluh tahun lalu, ramai yang bekerja di ladang. Tiga puluh tahun lalu pula di kilang. Hari ini ramai yang bekerja di pejabat. Kita mesti bersedia untuk anjakan berikutnya. Pekerjaan untuk masa depan - pekerjaan untuk anak-anak kita - pelaburan dan kemahiran baharu.

Contohi kisah Kabilah Hussein, petani rumpai laut di Sabah. Beberapa tahun lalu, beliau berhempas-pulas mencari wang untuk kelangsungan hidup. Namun selepas mengiklankan perniagaannya secara dalam talian, beliau kini memberi pekerjaan kepada hampir separuh penduduk kampung dan menjual produknya ke seluruh dunia. Saya mahu lebih ramai seperti Kabilah yang mampu meraih manfaat peluang baharu. Ialah sebenarnya yang diharapkan menerusi program transformasi ekonomi.

Saya tahu rakyat bimbang tentang kenaikan harga. Kerajaan selalu berkata bahawa harga akan meningkat apabila pembaharuan subsidi berkuat kuasa. Namun, adalah penting untuk mengetahui sebabnya.

Jika hutang dan defisit kita dibiarkan terus meningkat, ekonomi Malaysia akan berdepan risiko, menjejaskan kehidupan dan pendapatan berjuta-juta orang. Kerajaan telah mengambil keputusan dan bertindak berdasarkan kajian, kerana jika kita berbuat apa-apa ia adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Sejak Merdeka, kita telah mencapai kejayaan besar. Namun kita tidak boleh selesa dan mengambil mudah kejayaan. Ekonomi boleh berubah semalaman; kita mesti bersedia. Kita mesti berjimat hari ini, supaya kita lebih kuat esok. Dan kita perlu berbuat demikian berdasarkan terma kita sendiri. Seperti pepatah: `sediakan payung sebelum hujan'.

Pembaharuan subsidi adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang yang berhati-hati dalam memastikan ekonomi yang lebih adil, kukuh dan lebih stabil. Ini bermakna pelabur akan terus melabur dalam perniagaan Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini. Ini bermakna pembangunan luar biasa Malaysia akan diteruskan, dengan lebih banyak peluang untuk anak-anak kita serta taraf kehidupan lebih baik untuk semua. Dan perancangan itu berjalan lancar.

Destinasi kita tak berubah

Kita mendengar kebimbangan rakyat, dan kerajaan akan membuat penyesuaian dasar apabila perlu. Seperti memandu di lebuh raya, jika ada trafik di hadapan, anda menukar gear dan menukar lorong; tetapi destinasi kita tetap sama.

Destinasi kita tidak berubah. Kita semakin hampir merealisasikan matlamat mencapai status negara maju. Jika kita ada komitmen, bersama-sama, untuk membangunkan ekonomi yang kukuh untuk Malaysia, ganjarannya hebat. Dengan beralih kepada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Dengan mengukuhkan ekonomi, kita memastikan negara berada pada landasan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Dengan memastikan kewangan terkawal, kita melabur untuk masa depan - keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

No comments:

Post a Comment