Thursday, March 20, 2014

Industri runcit rancak pada musim raya


Publication: HM
Date of publication: Mar 17, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039

Subang Jaya: Retail Group Malaysia (RGM) menjangkakan industri peruncitan akan kekal sihat tahun ini dengan kadar pertumbuhan tahunan dijangka mencecah enam peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun lalu.

Pengarah Urusannya Tan Hai Hsin berkata, situasi itu akan menyaksikan pengwujudan perniagaan runcit baru hampir setiap hari di seluruh negara terutama di bandar besar dan pengguna masih berkunjung ke pusat beli-belah popular pada hujung minggu meskipun mereka terus berhati-hati dalam perbelanjaan masing-masing.

"Kawalan harga dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah penyelesaian jangka pendek untuk membantu rakyat menampung kos hidup yang lebih tinggi dengan bantuan untuk meningkatkan pembayaran 'bawa balik' dilihat sebagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang," katanya pada majlis taklimat media Goldsoft GST di sini.

Ketika mengulas lanjut mengenai pertumbuhan industri sepanjang tahun, beliau berkata, suku pertama akan menyaksikan pertumbuhan hanya 4.8 peratus meskipun terdapat sambutan Tahun Baru China pada awal Februari.

"Angka suku pertama itu dilihat sebagai pertumbuhan yang agak perlahan disebabkan beberapa faktor penyumbang termasuk kelewatan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), catuan bekalan air di Lembah Klang dan masalah jerebu yang melanda sebahagian kawasan di Malaysia," katanya.

Hai Hsin berkata, industri peruncitan Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan pertumbuhan kepada lima peratus pada suku kedua dengan pengguna akan kekal berhati-hati dalam perbelanjaan masing-masing.

Menurutnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada awal suku ketiga akan menyumbang kepada peningkatan kadar pertumbuhan industri kepada 6.3 peratus, namun kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua tahun ini akan memberi kesan kepada jualan barangan bernilai tinggi.

"Jualan runcit dijangka terus mengekalkan momentum dalam suku keempat dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus kerana sambutan perayaan akhir tahun dan cuti sekolah di samping kecenderungan pembeli untuk meningkatkan perbelanjaan masing-masing bagi mengelakkan pembayaran lebih selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan pada 1 April 2015," katanya.

No comments:

Post a Comment