Monday, March 3, 2014

GST acara penting Sidang Kemuncak Bakat 2014


28 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah antara agenda penting pada Sidang Kemuncak Pembangunan Bakat 2014 yang berlangsung pada 31 Mac, kata penganjurnya T Circle Sdn Bhd.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Khor Soon Kheng berkata topik itu sangat penting memandangkan sektor perniagaan perlu bersedia apabila sistem percukaian baharu itu dilaksanakan pada April 2015.

"Setiap pekerja perlu memahami aliran kerja GST. Mereka silap jika menganggap GST merupakan masalah jabatan pentadbiran.

"Sebagai contoh, jika anda pembeli atau membuat pemerolehan, anda perlu mengetahui bagaimana invois cukai dikira oleh pembekal dan prinsip yang sama terpakai untuk mereka yang membuat tender projek," katanya pada taklimat media mengenai sidang kemuncak itu.

Persidangan bertema Menghubungkan Teknologi dan Bakat itu bermatlamat membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri modal insan menerusi teknologi dan usahanya ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Khor berkata, untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu membangun, menarik serta mengekalkan bakat.

"Malaysia kini kehilangan bakat tempatan yang memilih untuk bekerja di luar negara. Oleh itu kita mahu berkongsi teknologi dan inovasi yang boleh digunakan untuk menukar situasi ini dan mendapatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk berkongsi pengetahuan masing-masing menggunakan teknologi di mana sahaja mereka berada," katanya.

T Circle ialah syarikat Asean pertama memperkenal konsep menghubungkan teknologi dengan bakat yang dijangka memberi impak positif ke atas pembangunan modal insan di rantau ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd Ali Badaruddin Abu Kadir berkata konsep itu diharapkan dapat menambah bilangan pekerja mahir kepada 1.3 juta atau 50 peratus daripada 2.5 juta pekerja berdaftar menjelang 2020.

"Kini hanya 28 peratus pekerja mahir berbanding 56 peratus di Singapura dan 90 peratus di Jerman," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment