Friday, February 28, 2014

TPP: Isu tarif US-Jepun jadi tumpuan


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2014

SINGAPURA - Isu tarif US-Jepun akan menjadi tumpuan pada hari terakhir mesyuarat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Peringkat Menteri di sini, yang mungkin membuka ruang untuk memuktamadkan rundingan perdagangan bebas itu lebih awal.

Selepas tiga hari rundingan pleno dan perbincangan dua hala, dua kuasa ekonomi dunia itu belum mencapai persetujuan terhadap isu terbabit.

US dan Jepun gagal mencapai persetujuan melibatkan lima produk ladang termasuk beras, gandum dan daging lembu, dengan Jepun mahunya dikecualikan daripada pemansuhan tarif.

Namun US mahukan sebaliknya dan berharap Tokyo akan membenarkan pengurangan tarif ke atas sebahagian daripada lima produk berkenaan.

Walaupun ada perbezaan, harapan masih ada memandangkan kedua-dua negara bersetuju untuk terus berbincang bagi mencapai persetujuan.

Wakil perdagangan US Michael Froman pada Isnin berkata US dan Jepun akan terus bekerjasama bagi merapatkan perbezaan yang ada antara mereka dalam rundingan perdagangan.

Mesyuarat TPPA peringkat menteri bermula di Singapura Sabtu lepas dengan harapan untuk membincangkan isu-isu baharu dan tradisional berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Menteri-Menteri Perdagangan dan para pegawai dari Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat, Vietnam dan Singapura hadir pada pertemuan empat hari itu.

Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepanjang tiga hari lepas, menteri-menteri perdagangan berusaha keras untuk membawa isu-isu ke peringkat seterusnya, termasuk Mustapa yang bukan sahaja menemui rakan sejawatannya dari negara anggota TPPA semasa sesi pleno, malah mengadakan mesyuarat dua hala.

Malaysia sentiasa membuat pendirian jelas dengan mengetengahkan kebimbangan dan sensitiviti khusus dalam bidang pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara, isu Bumiputera, alam sekitar dan ISDS (penyelesaian pertikaian pelabur negara).

Ini selain perlunya fleksibiliti termasuk menetapkan tempoh peralihan dan komitmen khusus sesebuah negara.

Dalam misi untuk melindungi kepentingan negara, Mustapa sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa draf teks Perjanjian TPPA itu akan diumumkan bagi membolehkannya diteliti secara terperinci dan perbahasan awam sebelum sebarang perjanjian akhir ditandatangani. - Bernama

No comments:

Post a Comment