Tuesday, February 18, 2014

Surat Terbuka kepada Dewan Ulama PAS


February 15, 2014
SURAT FMT: Dari Wan Kadir Wan Ismail, melalui e-mel

Setelah membaca artikel, ‘Dewan Ulama PAS: GST haram’, di FMT dan saya berasa bahawa beberapa isu yang dibangkitkan dalam artikel ini adalah tidak tepat.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali:

1 Dewan Ulama PAS telah menyifatkan tindakan kerajaan yang bakal mengutip cukai GST adalah haram

2 Mengikut Islam cukai hanya boleh diambil daripada rakyat yang mampu sahaja. Tetapi dengan sistem GST, kerajaan bakal mengutip cukai dari semua lapisan masyarakat termasuk yang miskin. Ini tidak adil.

3 Cukai hanya dibenarkan dalam Islam setelah negara sudah tidak ada sumber pendapatan lain. Malah bila ada sumber pendapatan baru, maka secara otomatik pungutan cukai sebelum itu terbatal.

4 Khairuddin juga berkata umat Islam hanya wajib bayar zakat sahaja. Walau bagaimanapun zakat tidak boleh dikutip melainkan keadaan memerlukannya

Izinkan saya membalas dengan pendapat saya:

Dewan Ulama PAS sepatutnya memahami dan mengkaji dengan mendalam mengenai isu `haram’ terlebih dahulu sebelum mengatakan pelaksanaan GST adalah berlawanan dengan ajaran Islam. Contohnya, ceramah agama oleh Ustaz Zaharuddin Muhammad di Dewan Bandaran Salak Tinggi baru-baru ini menampakkan bahawa PAS kurang faham dan tidak mengkaji dengan teliti konsep pelaksanaan GST. Sepatutnya, perbandingan harus dibuat secara menyeluruh dari segi kemaslahatan umum ke atas wang hasil dari GST dengan wang pungutan zakat.

Banyak persoalan yang perlu dijelaskan oleh PAS apabila mengatakan GST adalah haram kerana Malaysia telah lama melaksanakan sistem percukaian Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan ( SST). Pada pendapat saya, jika GST nanti adalah haram maka implikasinya, SST sebelum ini adalah haram juga kerana kedua-duanya adalah berasaskan konsep kepenggunaan.

Jika di bawah SST pengguna membayar cukai bila membeli barangan yang tertakluk kepada cukai jualan contohnya baju, seluar, kasut cuma tidak ditunjukkan di dalam invois jualan. Elemen cukai jualan telah dimasukkan didalam kos barangan yang dijual oleh peniaga dan secara tak langsung pengguna telah membayar cukai jualan ke atas barangan yang dibeli, tidak kira sama ada golongan miskin ataupun kaya.

Persoalannya jika cukai golongan miskin dikenakan cukai jualan semasa SST maka bila GST dilaksanakan nanti, keadaan yang sama akan berlaku. Apakah Khairuddin akan mengeluarkan fatwa bahawa selama ini wang yang dipungut dari hasil cukai jualan adalah haram? Apakah selama ini pembinaan dan pembangunan yang berlaku di Malaysia ini adalah dibiayai oleh duit haram hasil cukai ke atas orang miskin?

Kita harus mengambil kira bahawa hasil duit yang dipungut melalui sistem percukaian berasaskan kepenggunaan telah memanfaatkan rakyat. Hasil kutipan cukai telah digunakan untuk membina jalan di kampung-kampung, membina lebuhraya, masjid, surau, gereja, balai raya, sekolah, universiti yang semuanya digunakan oleh rakyat Malaysia, tidak mengira agama atau bangsa, tidak kira apakah fahaman politik masing-masing. Seterusnya, gaji penjawat awam di Malaysia termasuklah elaun Yang Berhormat Ahli Parlimen adalah dibayar dari pungutan cukai SST.

Adakah Datuk Khairuddin akan mengeluarkan fatwa mengatakan bahawa semua penjawat awam menerima gaji dari duit haram yang dipungut dari hasil cukai?

Persoalan yang lebih serius adalah mengapa selama di bawah sistem SST, Khairuddin tidak mengatakan SST adalah haram dan tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana SST mengenakan cukai kepada golongan miskin seperti yang dinyatakan dengan sistem GST?

Golongan miskin yang berpendapatan rendah akan mendapat pembelaan dari kerajaan bagi menangani kesukaran yang mungkin dihadapi dengan pelaksaan GST. Secara asasnya, barangan asas dan 200 kWh pertama penggunaan elektrik tidak akan dikenakan GST. Setahu saya, apabila industri membayar GST ke atas elektrik, ianya boleh dituntut semula oleh industri dan tidak menjadi kos pada perniagaan. Maka, kos perniagaan juga tidak akan naik.

Saya berpendapat bahawa kita seharusnya melihat keadaan dengan wajar.

No comments:

Post a Comment