Thursday, February 6, 2014

SST dimansuh Mac


Publication: HM
Date of publication: Jan 31, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 057
Byline / Author: Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Kerajaan bakal mengumumkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Parlimen pada Mac ini bagi memberi ruang kepada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, segala perincian akan dimaklumkan pada hari berkenaan yang turut akan diberitahu tarikhnya kelak.

Katanya, walaupun kerajaan sudah lama bersedia dengan penggunaan GST pihaknya masih giat menjalankan promosi menerusi media cetak dan elektronik bagi membolehkan perkara berkenaan difahami rakyat sepenuhnya.

"Kita akan umumkan pemansuhan SST di Parlimen dan akan membentangkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini termasuk kaedah berkaitan," katanya yang belum lagi mahu mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.

Beliau yang ditemui ketika majlis Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) peringkat Wilayah Persekutuan semalam berkata, perancangan rapi bagi mengguna pakai sistem cukai itu sudah lama dicapai dan langkah bersesuaian akan diberitahu pada waktu sesuai.

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Isa Endot.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan akan mengeluarkan panduan harga atau 'shoppers guide' tiga bulan sebelum pelaksanaan penuh GST pada tahun depan mengandungi senarai perbezaan harga.

"Tiga bulan sebelum tarikh kuat kuasa GST iaitu waktu jangkaan pada Januari, kita akan edarkan panduan harga supaya pengguna tahu barangan dalam kategori mana sepatutnya mengalami penurunan dan sebagainya. Ini akan dapat membantu orang ramai berkenaan kadar barangan," katanya.

Sementara itu, tidak dinafikan ada sesetengah peniaga yang mulai mengambil kesempatan ke atas sistem ini dengan mengenakan GST ke atas harga barangan mereka.

Katanya, perkara itu dilihat berlaku di beberapa premis sekitar ibu negara selepas pihaknya menerima aduan berkenaannya.

"Kita beri amaran hentikan perbuatan terbabit kerana GST hanya bermula pada satu April 2015 pada kadar enam peratus dan tanpa SST," katanya.

No comments:

Post a Comment