Wednesday, February 12, 2014

Rakyat perlu bijak menilai helah pembangkang - Musa


MUSA Aman (tengah) bersama kakitangan awam dalam Majlis Perhimpunan
Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri
dan Persekutuan di Dewan Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 11 Feb. - Rakyat diingatkan tidak terpedaya dengan tohmahan segelintir pihak yang cuba menggugat keamanan dan kemakmuran negara dengan membangkitkan isu keharmonian agama di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, apa yang berlaku di Semenanjung bukan satu 'masalah', sebaliknya isu keagamaan tersebut sengaja ditimbulkan oleh pembangkang dengan niat memporak-perandakan keharmonian semua kaum.

Tegasnya, rakyat perlu bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan pembohongan pembangkang serta saling hormat menghormati antara penganut dengan yang lain.

''Kita di Sabah tidak mempunyai masalah keharmonian agama ini. Sama juga di Semenanjung. Masalah yang timbul disebabkan oleh pembangkang atau orang tertentu dengan niat memporak-perandakan negara kita.

''Saya ingin ingatkan di sini, pembangkang mempunyai banyak waktu terluang. Oleh itu, mereka akan membuat bermacam-macam perkara yang boleh mencetuskan kacau-bilau serta menggugat ketenteraman negara," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Ketua Menteri bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Dewan Tun Mustapha di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Salleh Tun Said dan anggota jemaah menteri negeri.

Dalam pada itu, Musa turut memberi penerangan kepada para penjawat awam agar peka dengan isu semasa seperti kenaikan harga barang terutamanya isu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Jelasnya, Malaysia yang bakal melaksanakan GST April 2015 dengan kadar enam peratus merupakan antara negara di ASEAN selain Myanmar dan Brunei Darussalam yang belum melaksanakan dasar itu.

Beliau memberitahu, isu GST turut dipolitikkan pembangkang dengan menuduh kerajaan tidak peka terhadap rakyat sedangkan GST hanya dikenakan kepada pembelian barang-barang mewah.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment