Thursday, February 20, 2014


Publication: HM
Date of publication: Feb 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027

Kuala Lumpur: Malaysia bukan negara tunggal di dunia yang menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohd Hanadzlah.

Beliau berkata, sebilangan negara termasuk negara maju turut memperkenalkan program bantuan seumpama itu seperti Singapura, Iran, Macau, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Hong Kong.

"Pada 2012, Singapura memperkenalkan baucar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi membantu mengurangkan peningkatan kos sara hidup rakyatnya manakala pada 2008, Iran memperkenalkan bantuan tunai bulanan untuk mengurangkan impak rasionalisasi subsidi di negara itu. Macau juga ada memperkenalkan satu skim dipanggil "Wealth Partaking Scheme" pada 2008 yang masih lagi berjalan.

"Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sudah lama mewujudkan program untuk membantu rakyat yang terdedah seperti Program Makanan Setem, Universal Kredit dan Kredit GST/HST. Hong Kong memberi tunai kepada rakyatnya pada 2011," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan dikreditkan ke dalam akaun bank empat juta penerima berdaftar, mulai Sabtu ini

Beliau berkata, ia selepas BR1M 3.0 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, di sini, pada pagi hari sama.

Katanya, bagi penerima berdaftar yang tidak memiliki akaun bank, pihaknya akan menyerahkan baucar BR1M secara berperingkat di kawasan Parlimen masing-masing mulai 23 Februari.

BRIM 3.0 membabitkan peruntukan kira-kira RM4.2 bilion dijangka memanfaatkan 4.63 juta isi rumah dan 2.4 individu bujang.

Jumlah penerima tahun ini meningkat 1.1 juta orang berbanding hanya 6.8 juta penerima BR1M 2.0, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment