Monday, February 17, 2014

Penarafan tinggi jana pertumbuhan


Publication: BH
Date of publication: Feb 15, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Mahanum Abdul Aziz

Bagi pelabur, penarafan antarabangsa terhadap hutang sesebuah negara menjadi antara petunjuk utama dalam membuat keputusan pelaburan, namun bagi orang awam pula, ia tidak bermakna dan tidak berkaitan dengan mereka. Ada juga yang mempersoal mengapa kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan dengan merasionalisasikan subsidi hanya untuk mendapatkan penarafan hutang yang lebih baik. Bagi mengulas lanjut mengenai perkara ini, ikuti temu bual wartawan BH, Mahanum Abdul Aziz bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

S: Apa faedah diperoleh Malaysia jika mendapat penarafan kredit antarabangsa yang positif?

J: Dari sudut ekonomi, penarafan tinggi mencerminkan risiko kredit yang rendah. Ini bermakna, kerajaan berupaya melunaskan pembayaran hutang tepat pada masanya kerana bon kerajaan ada tarikh matang serta pembayaran kupon berkala kepada pelabur termasuk pelabur asing. Ini sekali gus mewujudkan keyakinan kerajaan mempunyai sumber kewangan kukuh dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi bersandarkan sektor swasta. Apabila keadaan itu berlaku, sektor swasta akan lebih rancak kerana aktivitinya lebih tertumpu kepada nilai tambah yang tinggi seperti sektor minyak, gas, elektronik dan elektrikal. Ini sekali gus mewujudkan permintaan terhadap pekerja mahir yang mempunyai kelayakan akademik dan iktisas.

S: Apa kesan jika mendapat penarafan kredit negatif?

J: Kebiasaannya, pasaran kewangan mengalami penurunan mendadak terutama dalam konteks ekonomi global. Pergerakan aliran keluar masuk modal begitu mudah. Perkara ini berikutan keyakinan pelabur asing yang mula bimbang terhadap risiko kredit kian meningkat, iaitu keupayaan kerajaan membayar hutang adalah lemah.

S: Apa yang perlu dilakukan Malaysia untuk mendapat penarafan yang lebih baik?

J: Agensi penarafan kredit memberi penekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan sebagai perkara utama dalam aktiviti pemberian penarafan kredit bagi sesebuah negara. Ini termasuk nisbah defisit fiskal kepada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kadar hutang negara. Ia penting bagi memastikan nisbah defisit dan hutang negara rendah bagi membolehkan penarafan kredit itu dipertingkatkan. Selain itu, imbangan pembayaran, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik juga antara faktor menjadi pertimbangan penarafan kredit kepada agensi penarafan, namun dalam hal ini, Malaysia mempunyai kedudukan selesa dengan imbangan akaun semasa masih mengalami lebihan.

S: Adakah dengan mengurangkan subsidi akan membantu Malaysia mendapatkan penarafan lebih baik?

J: Memandangkan perbelanjaan subsidi antara komponen terbesar dalam perbelanjaan mengurus kerajaan, pengurangan perbelanjaan dari aspek ini sudah tentu memberi kesan besar terhadap usaha bagi mengurangkan defisit negara.

S: Adakah kaedah lain selain mengurangkan subsidi untuk mendapatkan penarafan yang baik?

J: Dalam hal ini, pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) antara langkah meningkatkan kutipan cukai lebih cekap. Usaha ke arah pengenalan cukai itu perlu diteruskan bagi memastikan hasil kerajaan kekal kukuh pada masa depan. Selain itu, hasil daripada cukai minyak dan gas dijangka berkurangan berikutan pengurangan jumlah pembayaran dividen PETRONAS kepada kerajaan. Perkara itu berlaku apabila PETRONAS memerlukan sejumlah dana yang besar bagi menampung perbelanjaan modal dalam melancarkan aktiviti pencarian minyak yang dikatakan semakin sukar dan memerlukan pelaburan besar. Selain itu, pengamalan perbelanjaan berhemah amat digalakkan seperti mengurangkan khidmat pakar runding yang mungkin menelan belanja jutaan ringgit. Ini memandangkan kakitangan kerajaan juga mampu melaksanakan kerja penyelidikan sesuatu projek kerana kebanyakan mereka memiliki kelayakan akademik tinggi seperti ijazah sarjana dan doktor falsafah. Dengan menggunakan khidmat kakitangan kerajaan bagi mengendalikan kajian berimpak tinggi juga mampu melonjakkan semangat mereka bekerja dengan lebih baik kerana tugasan berat seperti ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kemahiran yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment