Monday, January 20, 2014

Siasat harga elak kenaikan mengejut


Publication: BH
Date of publication: Jan 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 011
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin; Nurul Fhatihah Zakinan

Kuala Lumpur: Siasat harga pada peringkat pengeluar, ambil tindakan ke atas orang tengah dan terus bertindak ke atas peniaga cekik darah.

Itu antara pandangan pengguna untuk pertimbangan kerajaan dalam usaha mengawal kenaikan mendadak harga barangan kebelakangan ini sehingga membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pemantauan pihaknya mendapati ramai peniaga menggunakan alasan kenaikan harga petrol dan diesel serta cuaca sebagai punca mereka menaikkan harga jualan.

Alasan tak munasabah

"ia tidak munasabah. Contohnya harga ais naik 10 sen, Milo ais naik 50 sen, sedangkan tiada kaitan langsung dengan minyak dan cuaca. Begitu juga kos menternak seekor ayam hanya sekitar RM3.50 hingga RM4, namun ayam proses dijual sehingga RM8 sekilogram," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengalu-alukan langkah Pemuda UMNO menubuhkan Skuad Pengguna di seluruh negara bagi memantau kenaikan harga barang.

Sementara itu, A Ramanathan, berkata peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga lebih awal sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.

"Ada restoran sudah naikkan harga. Minuman contohnya naik sehingga 20 sen. Jika tiada tindakan dikenakan, mereka akan terus mengaut untung tanpa fikirkan beban pengguna," katanya.

Maklumat terperinci

Bagi Razzif Mohd Salam, kerajaan perlu menyiasat harga barang pada peringkat pengeluar untuk mendapatkan maklumat terperinci kos sebenar ditanggung pengilang, manakala Nor Sabri Abd Karim, pula mahu tindakan tegas diambil terhadap orang tengah, pembekal atau pemborong yang dikesan mengaut untung berlebihan.

"Kebanyakan peniaga tersepit dalam situasi ini, menanggung kos tinggi dan pada masa sama mahu menjaga pelanggan. Ada kalangan rakan saya yang berniaga, mendakwa mereka kerugian," katanya.

Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Lee, menyarankan kerajaan segera mencari punca kenaikan harga barang secara tidak terkawal sehingga sesetengahnya mencapai paras tidak masuk akal.

No comments:

Post a Comment