Monday, January 20, 2014

Seminar jelas isu kenaikan harga barang


W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
17 Januari 2014

Abdul Rahman Bakar
KUALA TERENGGANU – Umno Terengganu akan mengambil tanggungjawab serius dalam memberi kefahaman kepada rakyat negeri ini berhubung isu kenaikan harga barangan yang dikatakan membebankan rakyat.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, isu tersebut yang mendapat perhatian ramai telah menyebabkan beberapa pihak mengambil peluang dengan memanipulasi isu itu sehingga menghangatkan keadaan.

Sehubungan itu katanya, pihaknya bakal menganjurkan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional melalui kerjasama kerajaan negeri dan Pusat dalam membantu rakyat di negeri ini memahami beberapa perkara antaranya Bajet Negeri 2014, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan agenda memperkasakan ekonomi khususnya bumiputera.

“Tujuan kita adalah untuk memberi kebaikan bajet, GST dan agenda kefahaman ekonomi nasional kepada pemimpin masyarakat supaya mereka dapat sampaikan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Saya benar-benar yakin rakyat akan faham mengenai kebaikan dan faedah bajet serta pemerkasaan ekonomi nasional kerana ramai yang tidak faham sehingga dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Seminar tersebut akan diadakan pada 18 Januari ini, dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman. 

Antara peserta yang hadir melibatkan pemimpin masyarakat, ketua jabatan, kakitangan kanan kerajaan, NGO, pegawai tadbir negeri dan tokoh tertentu di negeri ini.

Abdul Rahman berkata, seminar tersebut juga turut menyediakan sesi dialog kepada 3,000 peserta yang membolehkan mereka bersoal jawab dengan ahli panel mengenai kekeliruan yang timbul.

Menurutnya, sesi dialog itu mampu membuka minda peserta terhadap situasi yang berlaku kerana pertanyaan akan dijawab secara terus berbanding sekiranya mereka mendapat maklumat melalui laman sosial atau internet.

“Kita juga akan turun ke kampung untuk menyampaikan kepada orang ramai supaya mereka faham situasi sebenarnya.

"Ini adalah usaha yang kerajaan buat supaya tidak timbul soal manipulasi isu, propaganda, fitnah dan apa juga pandangan yang tidak betul mengenai GST serta agenda pemerkasaan ekonomi,” katanya.

No comments:

Post a Comment