Thursday, January 2, 2014

Saran cari sumber kewangan tambahan


Publication: MA
Date of publication: Dec 29, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 016

Kuala Lumpur: Pengguna kini perlu sedar mengenai bebanan kos sara hidup tinggi selepas kenaikan harga beberapa barangan keperluan termasuk caj perkhidmatan dengan meningkatkan produktiviti diri untuk mencari sumber kewangan tambahan.

Perkara itu disarankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam Seminar Sesi Penerangan Isu Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Subsidi, Muflis dan Along di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, semalam.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya pengguna tidak boleh lagi menunggu bantuan kerajaan sebaliknya mencari jalan memperoleh pendapatan tambahan seperti berniaga.

Katanya, kenaikan harga barangan pada masa kini sudah menjadi masalah utama pengguna dan disebabkan itulah pengguna tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya bersembang kosong tanpa mengambil tindakan.

Menurutnya, tahun depan akan menjadi masalah lebih getir kepada pengguna dengan penambahan GSTdan pengguna seharusnya sudah mempunyai perancangan memantapkan ekonomi mereka.

"Kita tidak mahu mereka hanya duduk diam dengan mengutuk kenaikan harga barangan sebaliknya mereka perlu fikir bagaimana mencari pendapatan tambahan dan dalam sesi penerangan ini, PPIM mengajar beberapa tip berniaga.

"Mereka perlu keluar daripada beban hutang yang ditanggung sebelum ini dan perlu berwaspada dengan taktik pihak tertentu menjerumuskan mereka dalam hutang sehingga diisytiharkan bankrap," katanya.

Nadzim turut mengingatkan kerajaan sentiasa berwaspada bagi memastikan GST yangdilaksanakan nanti tidak berlaku ketirisan sehingga menyebabkan pengguna marah.

Menurutnya, setiap kenaikan dibayar pengguna perlu dibalas dengan manfaat dan tidak seharusnya wang berkenaan digunakan untuk perkara tidak sewajarnya.

"Kenaikan harga tol misalnya, kerajaan perlu memastikan kenaikannya membawa manfaat kepada pengguna seperti tidak lagi berlaku kesesakan dan jalan berlubang bagi keselesaan pengguna," katanya.

No comments:

Post a Comment