Wednesday, January 8, 2014

Ramai rakyat kurang faham GST


by Siti Aisyah Ramli. Posted on January 5, 2014, Sunday

Kerajaan digesa perhebat penerangan secara terperinci kepada rakyat

KUCHING: Rata-rata masyarakat di bandar raya ini masih belum memahami sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa mulai April 2015 seperti mana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2014.

GST yang dilihat sebagai tindakan kerajaan untuk menyusun semula sistem kewangan negara dan bertujuan mencari sumber hasil baharu serta memperkemas kaedah kutipan cukai, kurang difahami oleh rakyat khususnya golongan muda.

Tinjauan Utusan Borneo di bandar raya Kuching semalam mengenai fungsi pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan mendapati orang ramai mempunyai pemahaman yang sangat kurang mengenainya.

Penyelia sebuah restoran makanan segera di sini ketika ditemui semalam memberitahu, beliau mengetahui mengenai GST melalui saluran berita akan tetapi tidak peka akan fungsi pelaksanaannya.

“Saya tahu akan pelaksanaan GST yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan (2015), akan tetapi saya masih tidak mengetahui kebaikannya kepada saya sebagai individu.

“Namun mengikut pemahaman persendirian saya, GST merupakan cukai yang dikenakan bagi beberapa barangan termasuk makanan segera yang ditawarkan di sini,” katanya.

Manakala bagi guru sekolah yang dikenali sebagai Faradiela Romie berkata, dia juga mempunyai pemahaman yang kurang lengkap mengenai fungsi pelaksanaan GST.

“Semua orang tahu GST itu adalah cukai, namun fungsi pelaksanaannya kepada orang ramai masih belum disebarkan secara menyeluruh.

“Itu menjadi sebab mengapa masih ramai masyarakat tidak mengetahui apakah kebaikan mahupun keburukan GST kepada orang ramai.

“Justeru, orang ramai seharusnya diterangkan mengenai GST ini secara terperinci agar orang ramai mudah faham akan fungsinya,” katanya.

Lain pula pendapat bagi Eksekutif Operasi Kedai 1Malaysia Salbiah Yusop, 41, yang berkata, pelaksanaan GST akan memberikan keuntungan tidak hanya kepada kerajaan, tetapi juga kepada peniaga serta pengguna.

“Pada awalnya, pelaksanaan tersebut dilihat sebagai kurang memberi keuntungan kepada kerajaan kerana hasil yang diperolehi akan mengimbangi kehilangan akibat penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

“Namun, ia tetap akan memberi keuntungan kepada kerajaan dalam jangka masa panjang dan bagi pengguna pula, mereka tidak akan membayar cukai lebih di atas pembekalan barangan serta perkhidmatan asas seperti makanan, pengangkutan awam dan pendidikan.

“Ini kerana cukai yang ditetapkan adalah berkadar sifar untuk barangan dan perkhidmatan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, GST akan membantu peniaga untuk mengemas kini rekod proses penambahan nilai pada barangan jualan bagi mengenal pasti sebarang pemesongan yang berlaku di setiap stor mahupun kedai.

No comments:

Post a Comment