Thursday, January 2, 2014

Rakyat mahu tahu dan menteri harus respon!


December 28, 2013
SURAT FMT: Dari Mohd Wafiy Azman, melalui e-mel

Tidak boleh tidak, suara anak muda itu memang senantiasa perlu lantang, deras, dan tegas. Makanya tenaga keringat serta minda kita harus kita kerah supaya boleh kita hasilkan satu barisan pelapis pemimpin negara untuk masa depan. Seringkali perhimpunan di jalankan sebagai satu bentuk manifestasi ketidak puasan hati di dalam suasana iklim politik negara. Cuma kesilapannya adalah pada sifat partisan yang keterlaluan. Namun begitu, itu bukanlah isu pokok di dalam artikel ini.

Saya melihat secara positif sikap kesedaran sosial dalam kalangan rakan-rakan mahasiswa pada hari ini. Setiap isu negara bakal menjadi bual bicara mereka pada masa-masa yang terluang. Sikap ini jauh lebih baik dari mereka yang berbual tentang kisah Johan Ashaari dan Lana Nordin ataupun Che Ta dan Zain Saidin.

Namun begitu sikap sambil lewa pihak pimpinan kerajaan dalam memberi penjelasan pada hari ini telah menyebabkan sikap ingin tahu dalam kalangan mahasiswa telah menjadi satu permasalahan. Bagaimana mereka hendak melihat positif GST jika tidak pihak yang mahu mengambil tanggungjawab untuk menerangkannya. Saya melihat saudara Rafizi Ramli tidak putus-putus memberi penerangan tentang negatifnya GST ini.

Namun tiada mereka dari pihak kerajaan yang mahu membalas hujah-hujah ini di hadapan khalayak ramai. Sudah sejak sekian lama RTM dan TV3 dilihat sebagai alat untuk menyebarkan kisah buruk pembangkang, bukankah sudah tiba masanya untuk kementerian yang menjaga stesen TV ini mengubah cara mendapatkan kepercayaan rakyat kepada mereka? Berapa ramai yang tahu kewujudan laman sesawang ini.

Rakyat hanya dapat dengar yang buruknya sahaja. Salah siapa?

Sudah tiba masanya wujud program penerangan khas berkenaan dasar-dasar baru kerajaan di dalam kaca tv dan menteri juga harus turun kepada rakyat untuk memahamkan pekara-pekara ini. Kalau tidak jumpa puncanya di mana mahu bertemu rakyat dan memahamkan mereka, apa salah bertemu mereka yang di universiti? Besar tapak tangan kami ini menyambut mereka untuk mereka memberi penjelasan terhadap seribu pertanyaan yang terbuku di hati ini. Rakyat tidak akan marah sekiranya pak menteri boleh memberi penjelasan yang baik.

Saya belum pernah lihat KhairyKJ dimaki oleh orang ramai ketika beliau menjawab persoalan yang di lontarkan. Malah dia semakin dihormati atas sikap keterbukaan dan ringan mulut beliau ketika berbual tentang idea dan menjawab isu semasa. Maka pak menteri lain juga harus ikut sama sikap ini. Saya melihat terlalu banyak kelopongan pada Kementerian Komunikasi dan Multimedia(kem penerangan) sewaktu menjalankan tugas, mulut mereka ini tidak ringan sebaliknya melopong yang banyak.

Kenapa berdiam diri berkenaan dengan kontrak IPP dan TNB? Kenapa berdiam diri berkenaan dengan perjanjian konsesi tol? Rakyat mahu tahu, dan menteri harus beri tahu dan jelaskan pada mereka. Meskipun saya melihat tarikh perhimpunan TURUN adalah satu pendekatan populis, saya tidak mahu menuding jari menyalahkan mereka yang mahu berhimpun membuat bantahan secara total, kerana pada akhirnya saya akan sedar bahawasanya ada empat jari lagi yang menuding silap sendiri.

Ruang untuk mahasiswa dibuka di dalam parti, maka parti harus terima segala kritikan dari anak-anak kecil yang belum mahir dalam sepak terajang politik lagi.

Dalam bahtera jangan ada dua nakhoda,
Kelak hilanglah rindu dan kenangan,
Sungguh murni perjuangan anak muda,
Ditegur boleh dicantas jangan.

No comments:

Post a Comment