Monday, January 6, 2014

`Persidangan kupas persoalan belia'


Publication: BH
Date of publication: Jan 4, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 017

Kuala Lumpur: Generasi Pelapis Malaysia (GPM) akan mengadakan Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y (PIKGY) pada Selasa ini, sebagai wadah perbincangan ilmiah ekoran ketidakpuasan yang dilontarkan belia.

Persidangan itu akan menekankan dua isu semasa iaitu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pendidikan percuma kerana ia dilihat kurang pendedahan, selain dipolitikkan pihak berkepentingan.

Presiden GPM, Muhamad Shazwan Sazali, mengakui belia mula cenderung terhadap perkembangan politik semasa, namun sering dijadikan 'kambing hitam' dan diperalatkan pihak berkepentingan.

Sehubungan itu katanya, pencerahan mengenai setiap isu yang timbul ekoran pelaksanaan dasar kerajaan wajar dibincangkan secara ilmiah kerana provokasi yang diterjemahkan dalam demonstrasi jalanan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Bincang hala tuju belia

"Jika provokasi seperti ini diteruskan, hala tuju belia akan semakin kabur dan negara bakal ketandusan golongan pelapis. Malaysia kini berada di persimpangan yang akan menentukan sama ada kita mencapai status negara berpendapatan tinggi atau sebaliknya.

Fahami dasar kerajaan

"Belia menggalas tanggungjawab besar untuk menentukan masa depan negara.

"Kita perlu memahami isu semasa dan setiap kandungan dalam dasar kerajaan sebelum mengutarakan pandangan bersifat dangkal yang akhirnya diperlekehkan," katanya.

Persidangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selain beberapa panel termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.

Muhamad Shazwan berkata, belia sepatutnya tidak mencampur adukkan emosi sehingga menjejaskan kebolehan berfikir, sebaliknya menyuarakan ketidakpuasan mereka pada persidangan itu secara rasional.

No comments:

Post a Comment