Friday, January 24, 2014

Penjelasan GST diperluas ke semua kawasan Parlimen


2014/01/23 - 18:41:36 PM

KUANTAN: Kerajaan akan terus memberi penjelasan mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke semua kawasan Parlimen selepas penjelasan peringkat negeri selesai. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata penerangan peringkat negeri dijangka selesai selesai hujung bulan ini berikutan penjelasan sudah dibuat di 10 negeri termasuk Pahang hari ini. 

"Selepas penjelasan peringkat negeri selesai, GST akan diterangkan sehingga ke peringkat Parlimen mulai bulan dua ke atas. Sekarang nak habiskan empat lagi penerangan peringkat negeri (Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan). 

"Di kampung-kampung kita kumpulkan Ahli Parlimen, ketua bahagian, pemimpin setempat (untuk diberi penjelasan) dan bukan hanya penerangan mengenai GST malah bantuan kerajaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis Sesi Taklimat GST Peringkat Pahang yang dihadiri lebih 2,000 orang di sini, hari ini. 

Katanya, kerajaan tetap meneruskan penerangan GST walaupun ada usaha segelintir pihak yang cuba mensabotaj dengan melakukan demonstrasi untuk menggesa kerajaan menarik balik GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015. 

"Kita juga tidak akan berdiam diri dan akan buat penjelasan sebab GST ini adalah satu sistem percukaian terbaik yang sudah diamalkan 160 negara. 

"Tidak ada sistem cukai yang baik dari itu setakat hari ini dan kenapa pula pemangkang tidak boleh menerima, pada masa yang sama pembangkang tidak memberikan apa-apa kaedah atau alternatif lain," katanya. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelewatan pengagihan bantuan awal persekolahan, Ahmad berkata perkara itu mungkin disebabkan proses penjadualan pengagihan di peringkat Pejabat Pendidikan Negeri. 

Katanya, agihan bantuan berkenaan sudah disalurkan sejak 15 Januari lalu membabitkan RM540 juta untuk 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment