Thursday, January 2, 2014

Nilai jenama tumpuan utama ADEX 2014


2014/01/02 - 06:28:41 AM

Firma penyelidikan pengiklanan, Carat Media Services menjangkakan nilai jenama akan menjadi tumpuan utama dalam perbelanjaan pengiklanan (ADEX) pada 2014. 

Ketua Eksekutif, Bala Pomaleh, berkata pengguna mahukan nilai yang lebih hebat dan pemasar pula mencari pulangan nilai yang lebih baik bagi pelaburan. 

“Untuk 2014, segmen barangan pengguna laris (FMCG), terutama bagi kategori kelengkapan diri dilihat akan terus membuat pelaburan untuk membina jenama mereka. 

Persaingan lebih sengit 

“Persaingan pada tahun depan akan menjadi lebih sengit kerana semua peserta utama akan menggunakan peruntukan pengiklanan dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan penguasaan pasaran sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). 

“FMCG bagi kategori makanan perlu berhadapan dengan peningkatan kos operasi dan margin keuntungan yang lebih rendah. Kami jangka mereka akan mengurangkan ADEX atau mungkin mengekalkan tahap perbelanjaan yang sama seperti 2013. Peruntukan disalurkan untuk memastikan sokongan yang cukup dalam aspek pengedaran dan promosi jualan bagi memacu permintaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur. 

Bala berkata, syarikat telekomunikasi juga akan terus melabur dalam prasarana dan perkhidmatan berikutan peningkatan dalam jumlah pengguna.

Media televisyen, cetak 

“Syarikat telekomunikasi mudah alih akan melabur dalam LTE bagi bersaing dengan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang semakin berkembang. 

“Bagaimanapun, syarikat terbabit mengurangkan ADEX dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan perbelanjaan utama telah bertukar kepada media digital, dan kami berpendapat aliran ini akan berterusan pada 2014,” katanya. 

Dalam aspek media televisyen pula, secara keseluruhannya Bala berkata, ia akan terus berkembang kerana permintaan bagi saluran utama akan kekal kukuh untuk tahun mendatang. 

“Televisyen berbayar juga akan berkembang kerana ia bersaing dengan stesen TV percuma untuk siaran (FTA) dalam aspek penarafan (rating). Kami mengunjurkan pertumbuhan televisyen berbayar dan FTA masing-masing adalah pada kadar 10 peratus dan tiga peratus,” katanya. 

Sementara itu, bagi media cetak pula, Bala berkata, jumlah pembacaan dijangka terus menurun seperti mana yang dialami di seluruh dunia. 

“Namun, kami melihat banyak terbitan baru yang dilancarkan di negara ini oleh pemilik media bertujuan mewujudkan segmen khusus bagi pembaca. 

“Jumlah keseluruhan ADEX mempunyai ruang untuk berkembang, bergantung kepada pemilik syarikat untuk membenarkan lebih banyak kreativiti dan penyepaduan berlaku dalam aset digital mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment