Thursday, January 2, 2014

Najib tetap kukuh walaupun gagal urus ekonomi


| December 30, 2013

Tun Mahathir dalam blognya secara tidak langsung menegur kerajaan Najib kerana gagal mengurus ekonomi dengan baik.

Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap seorang Perdana Menteri yang paling bertuah dan amat bernasib baik. Di samping masih mempunyai seorang ibu, iaitu isteri seorang bekas Perdana Menteri, dia juga mempunyai isteri yang bijak. Dalam masa yang sama, Najib tidak ada saingan dalam parti yang boleh menggugat dan mengambil-alih kepimpinannya pada saat ini.

Negara dilanda krisis ekonomi. Sekurang-kurangnya krisis itu dirasai rakyat biasa dalam bentuk kenaikan kos sara hidup. Kos itu meningkat berikutan kenaikan harga petroelum dan barang-barang keperluan asas seperti gula. Tahun hadapan kerajaan bercadang untuk naikkan harga tol dan tarif elektrik. Tahun berikutnya, kerajaan pula akan memperkenalkan cukai GST.

Tun Mahathir dalam blognya secara tidak langsung menegur kerajaan Najib kerana gagal mengurus ekonomi dengan baik. Katanya kerajaan sepatutnya mengurangkan kos pengurusan perbelanjaan bukan membebankan rakyat dengan kenaikan harga, cukai dan tarif.

Esok beberapa NGO akan menganjurkan satu perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka membantah kenaikan harga barang. Dalam keadaan biasa, seorang pemimpin negara pasti berhadapan dengan tekanan yang luar biasa berikutan masalah yang melanda rakyat itu dan kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir. Namun ia tidak berlaku pada Datuk Najib. Pemimpin-pemimpin kanan parti Umno terus berada dibelakangnya dan memberi sokongan padu.

Pemimpin yang terdekat boleh mengambil alih pucuk pimpinan negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan enggan berbuat sesuatu kerana tidak mahu imejnya terjejas setelah melakukan perkara yang sama terhadap Tun Abdullah Badawi. Sungguhpun ada kabar-kabar angin yang mengatakan Timbalan Perdana Menteri itu akan meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan penasihat-penasihat Najib, namun kabar-kabar angin itu dianggap sebagai gosip nakal.

Sebelum pemilihan Umno, Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut bakal mencabar jawatan presiden Umno, tetapi menurut sumber, Ahli Parlimen Gua Musang itu menarik diri di saat akhir setelah dikunjungi Tun Rahah, ibu Najib. Ku Li dan keluarga Najib mempunyai hubungan yang rapat sewaktu Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Seorang lagi pemimpin kanan Umno yang mempunyai potensi mengambil alih pimpinan negara ialah Naib Presiden 1 Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi. Akan tetapi akhir-akhir ini imej Zahid sedikit terjejas berikutan isu-isu yang dibangkitkannya menjadikannya bukan seorang pemimpin yang layak mengetuai sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.

Manakala seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussien masih gagal meyakinkan ahli-ahli parti Umno untuk menjadi pemimpin yang boleh menggantikan Najib. Pada pemilihan parti Umno, Hishamuddin hampir dikalahkan pemimpin baru iaitu Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

No comments:

Post a Comment