Thursday, January 23, 2014

Kita mangsa salah kiraan GFI


2014/01/23 - 07:51:29 AM

Integriti Kewangan Global kena berubah, elak kemuka laporan cacat

Kuala Lumpur: Integriti Kewangan Global (GFI), yang menetapkan matlamat untuk menggalakkan perjanjian dan dasar membendung aliran wang haram rentas sempadan, perlu membetulkan kaedah pengiraan dalam laporannya ke atas Malaysia, tahun ini.

Ia penting susulan kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan itu akan terus menggunakan kaedah sama yang mana kerap kali ditegur pengawal selia kewangan Malaysia sebagai lemah dan patut dibetulkan. 

Keputusan akhir akan terus menjadi laporan yang cacat, jika GFI tidak memperbaiki kelemahan dan membetulkan kaedahnya yang tidak konsisten. 

Perkara itu memaksa pengawal selia Malaysia untuk sekali lagi membuat penerangan bagi membetulkan keadaan. 

Apa yang tidak dipertimbangkan GFI adalah angka Ralat & Ketinggalan (E&O) dalam lembaran imbangan (BOP) sebenarnya akan timbul bagi negara yang bergantung kepada perdagangan.

Bagi Malaysia, jumlah dagangan menyumbang 162 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ternyata, keseluruhan angka E&O dalam BOP tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti wang haram atau rasuah seperti yang didakwa oleh pengkritik kerajaan. 

Angka E&O yang ketara boleh disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk penghantaran balik dana oleh pekerja asing atau wang yang dihantar melalui saluran tidak rasmi, penentuan harga yang salah dan ‘harga pindah’. 

Aktiviti itu bukan unik dan berlaku di Malaysia saja, malah di negara maju. 

Pada 2012, kiriman wang oleh pekerja asing dari Malaysia dianggarkan RM25 bilion. Dalam kes Malaysia, 82 peratus daripada aliran keluar itu disebabkan oleh penentuan harga perdagangan yang salah.

Bukan luar biasa

Ini bukan sesuatu yang luar biasa dan keadaan itu sama dengan ekonomi lain yang berorientasikan eksport.

Perangkaan rentas sempadan Malaysia secara konsisten memenuhi kesemua piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh institusi pelbagai hala seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. 

E&O daripada BOP yang mencatat pada puratanya dua peratus daripada jumlah perdagangan, jauh di bawah had penanda aras lima peratus yang ditetapkan oleh IMF, perlu diberikan perhatian. 

Pasukan IMF yang berada di Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu untuk rundingan dengan pengawal selia kewangan, tidak pun membincangkan laporan GFI dengan Bank Negara Malaysia. 

Laporan GFI tidak pun disebut sepanjang masa perbincangan dan rundingan. Ini tidak menghairankan memandangkan GFI adalah NGO dan tidak mempunyai hubungan dengan Bank Dunia atau IMF.

Kaedah pengiraan GFI terus menyebabkan aliran kewangan dinyatakan berlebihan tanpa rekod. 

Ia juga tidak selaras memandangkan GFI tidak, sebagai contoh, mengambil kira perdagangan Malaysia melalui negara ketiga seperti Singapura, yang sejak 10 tahun lalu mencatatkan purata 13.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. 

Sebaliknya, perdagangan China melalui Hong Kong diambil kira. Mengapa berlaku percanggahan itu? 

Perangkaan perlu sudah sedia ada seperti menerusi Atlas Perdagangan Dunia, yang merekodkan kesemua perangkaan perdagangan yang diperlukan, termasuk import dan eksport Malaysia melalui Singapura dan negara ketiga yang lain, secara terbuka dan mudah didapati. Bukan itu saja, aspek mengenai penilaian juga perlu diambil kira. 

Eksport dari Malaysia adalah percuma atas kapal (FOB) manakala barangan Malaysia yang diimport ke China adalah CIF.

Tak boleh label ‘haram’

Oleh itu, harga yang berbeza dinyatakan untuk barangan yang sama di Malaysia dan China. Sekali lagi, ini bukanlah satu perkara baharu bagi Malaysia. 

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada tuntutan GFI mengenai ‘aliran modal haram’ dari Malaysia jelas dikaitkan dengan harga pindah, isu teknikal yang membabit syarikat multinasional (MNC). 

Memandangkan Malaysia adalah pusat kepada sebilangan besar syarikat multinasional, penentuan harga pindah boleh berlaku secara meluas.

Pemindahan itu tidak boleh diketepikan dalam mana-mana analisis aliran modal dan sudah tentu tidak boleh dilabel sebagai 'haram'.

GST tingkat ketelusan

Bank Negara menegaskan, pengenalan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) akan membantu meningkatkan ketelusan memandangkan ia memerlukan pelaporan nilai ditambah dalam rantaian pengeluaran.

Malaysia melaksanakan beberapa langkah untuk memerangi aktiviti haram yang boleh membawa kepada aliran modal haram. 

Ini termasuk penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi Pelbagai Agensi, mengukuhkan rangka kerja kawal selia, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiat mekanisme pengawasan. 

Selain mengakui usaha dan langkah kerajaan itu, GFI perlu menerima hakikat bahawa kaedah yang digunakannya tidak konsisten ke atas semua negara seperti dalam kes dagangan Malaysia melalui Singapura dan China melalui Hong Kong. 

Keadaan tidak konsisten itu sudah tentu memesongkan angka perdagangan dan aliran modal negara secara tidak adil. 

Sudah sampai masanya untuk GFI membetulkan keadaan tidak konsisten dalam laporannya atas alasan kredibiliti. 

Penyelewengan yang tidak adil itu menyebabkan beberapa pihak mengkritik kerajaan atas kesilapan GFI.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment