Monday, January 20, 2014

Kabinet komited kurangkan beban dihadapi rakyat: TPM


Publication: BH
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Magendran Rajagopal; Faiza Zainudin

Putrajaya: Kabinet semalam mengarahkan semua menteri turun padang untuk menemui peniaga serta pengguna bagi mengenal pasti punca kenaikan harga di pelbagai premis jualan, sekali gus mencari rumusan menangani isu itu.

Langkah itu, susulan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat sebagai inisiatif meningkatkan keberkesanan usaha kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kenaikan harga barangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu berkata, Jemaah Menteri turut mewujudkan Makmal Khas bagi tempoh dua minggu mengkaji langkah mengurangkan beban rakyat.

"Saya sendiri akan turun padang, malah Kabinet mengarahkan semua menteri turun padang melawat kawasan terpilih.

"Makmal ini akan kaji secara holistik konsolidasi fiskal yang perlu dilaksana bagi memastikan ia tidak terlalu membebankan rakyat selain bentuk bantuan boleh diberi bagi kurangkan beban rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup semasa.

"Ini termasuk kajian kenaikan harga yang tiada kaitan dengan langkah konsolidasi fiskal tetapi berpunca daripada struktur pasaran semasa seperti isu bekalan dan sistem pemasaran," katanya pada satu sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ambil tindakan tegas

Muhyiddin berkata, kedai yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya akan diberi surat tunjuk sebab dan tindakan tegas diambil jika alasan yang diberi tidak munasabah.

Katanya, pendekatan itu juga bertujuan menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa kenaikan harga barangan sekarang berlaku berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sedangkan ia hanya berkuatkuasa pada April 2015.

Tangani isu kenaikan kos

Timbalan Perdana Menteri, berkata jawatankuasa khas ditubuhkan itu adalah lanjutan daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Menangani Kos Sara Hidup yang diperluaskan skop dan peranannya, selain bertindak sebagai jawatankuasa pusat menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barangan secara bersepadu.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak sebagai Sekretariat serta Kementerian Peneraju dalam jawatankuasa khas yang antara lain turut dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah antara Jemaah Menteri awal akan bersemuka dengan akar umbi menerusi program Tinjauan Denyut Nadi Rakyat di Pasar Borong Selayang, mulai jam 7 pagi ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO akan bersama Biro Alam Sekitar dan Kualiti Hidup serta kepimpinan gerakan itu akan membuat tinjauan mesra bagi mengetahui masalah sebenar dihadapi rakyat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata sudah tiba masa untuk semua menteri dan timbalan serta kakitangan kementerian turun padang melihat dan mendengar sendiri rintihan rakyat.

No comments:

Post a Comment