Monday, January 13, 2014

Jangan mangsakan rakyat kerana mahu kejar Wawasan 2020, kata Persatuan Mahasiswa

OLEH SYAHIRAH RASHID
JANUARY 08, 2014

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula Wawasan 2020 kerana garis masa berbaki enam tahun tidak lagi relevan untuk kerajaan melaksanakan misi ini.

Presiden PMUM Muhammad Kamarul Setapa (gambar) meminta kerajaan jangan membebankan rakyat dengan strategi-strategi yang terburu-buru untuk mencapai wawasan tersebut.

"Saya melihat kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak cuba mengejar baki masa enam tahun ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi dengan apa cara sekalipun.


"Ia seperti kerajaan cuba ‘menghukum’ masa berbaki enam tahun ini dengan beberapa kesilapan yang telah dibuat pada masa lalu dan krisis-krisis ekonomi yang tidak dijangka seperti kemelesetan ekonomi dunia 2008 dan Krisis Kewangan Asia 1997/98 tatkala Wawasan 2020 digarap 22 tahun lalu," kata Kamarul.

Beliau turut berpendapat bahawa kadar pengenalan cukai barangan dan pendapatan (GST) sebanyak 6% pada April 2015 adalah melampau kerana pengetahuan rakyat berkenaan cukai baru ini masih cetek dan jurang pendapatan antara rakyat juga masih tinggi.

Kamarul menambah, pemborosan dan pembaziran para menteri seperti yang didedahkan dalam laporan audit negara menyebabkan pelaksanaan GST ini tidak berkesan. 

Namun, Kamarul menyokong 11 langkah penjimatan yang diumumkan perdana menteri pada 31 Disember lalu walaupun berpendapat ia masih tidak mencukupi.

"Banyak lagi perkara yang saya kira perlu diperhalusi seperti elaun-elaun kementerian yang tidak pernah diumumkan kepada rakyat seperti elaun perumahan, hiburan, kenderaan, pelancongan tahunan dan banyak lagi.

"Jika rakyat terpaksa dibebankan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, saya kira pihak pemerintah dan agensi-agensinya perlu lebih banyak berkorban," tambahnya lagi.

Kenyataan beliau ini berdasarkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pada tahun ini serta GST yang bakal berkuatkuasa tahun depan, yang secara langsung menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

Pada 31 Disember lalu, Najib mengumukan 11 langkah penjimatan yang bakal dilaksanakan Putrajaya bagi meringankan beban rakyat menjelang tahun 2014.

Antara 11 langkah tersebut adalah mengurangkan elaun hiburan, pelancongan serta penggunaan elektrik.

Hanya enam tahun lagi sebelum Wawasan 2020 di mana Malaysia merancang untuk berada di kalangan negara maju seperti yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991. – 8 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment