Wednesday, January 8, 2014

GST mampu lonjak daya saing eksport negara


Publication: BH
Date of publication: Jan 7, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 001

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April tahun depan mampu merangsang eksport negara, sekali gus menyumbang pertumbuhan tambahan 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata rejim cukai baru itu akan menjadikan eksport negara menjadi lebih berdaya saing kerana tidak lagi dipengaruhi oleh cukai tersembunyi.

Eksport negara, katanya, dijangka berpotensi menunjukkan pertumbuhan tambahan kira-kira 0.5 peratus pada tahun depan kerana GST adalah sistem percukaian yang lebih sistematik.

"Dengan sistem percukaian yang lebih telus, kerajaan menjangkakan eksport negara akan lebih kompetitif. Ini memandangkan tiada lagi cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sekali gus menarik minat negara asing mengimport produk dari Malaysia," katanya selepas sesi taklimat bersama Kastam Diraja Malaysia di Putrajaya, semalam.

Selain itu Ahmad berkata, sistem cukai baru itu dapat mengurangkan aktiviti mengelak cukai serta pasaran gelap atau Black Economy.

Jelas beliau, negara sedang membangun seperti Malaysia mempunyai kadar peratusan aktiviti itu yang tinggi iaitu sekitar 30 peratus daripada keseluruhan KDNK, berbanding negara maju antara 10 hingga 15 peratus.

Beliau berkata, selaras pengurangan aktiviti berkenaan, ia akan membantu pertumbuhan KDNK serta hasil negara akan turut bertambah dan ini adalah manfaat jangka masa panjang.

Sementara itu Ahmad Maslan, berkata kerajaan tidak menafikan terdapat kesan sementara ke atas harga barangan pada awal pelaksanaan cukai itu, namun dalam tempoh beberapa bulan hingga ke setahun, harga barangan akan kembali stabil kerana GST mampu mengurangkan kos perniagaan.

Ahmad turut memaklumkan bahawa kerajaan menjangkakan negara akan mengumpul pendapatan bersih hasil GST sebanyak RM3.7 bilion pada 2015 dan RM9.09 bilion pada 2016.

Pada masa sama, Ahmad mengumumkan Kementerian Kewangan akan meneruskan seminar 'Pemerkasaan Ekonomi Nasional' yang bermatlamat untuk menerangkan mengenai pelaksana GST kepada rakyat di setiap negeri.

Ia katanya, sudah pun bermula sejak Disember lalu dan berakhir pada 2 Februari ini di Kuala Lumpur.

"Seminar ini akan turut memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu semasa ekonomi dan 11 langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Seminar berkenaan menyasar kehadiran 2,000 hingga 3,000 orang di setiap negeri daripada lima kumpulan utama iaitu pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan, belia dan penuntut pengajian tinggi serta badan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

No comments:

Post a Comment