Thursday, January 9, 2014

Firma penyelidikan kekal penarafan 'neutral' ke atas sektor pengguna


2014/01/08 - 14:46:41 PM

KUALA LUMPUR: Dua firma penyelidikan masing-masing mengekalkan penarafan "neutral" ke atas sektor pengguna yang dijangka menyederhana ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat tahun ini. 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata sektor ini akan mengurangkan kelembapan melalui peningkatan pengaliran masuk pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014). Kenanga Research berkata akan muncul beberapa faktor yang memberangsangkan untuk memberi sokongan kepada sektor ini. 

"Kami menjangka sektor pengguna menyederhana dalam 2014 dengan pertumbuhan penggunaan dijangkakan semakin merosot ekoran syarat-syarat pembiayaan yang lebih ketat, pengurangan kuasa membeli disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi dan kesan daripada penyusutan kekayaan. 

"Pada masa sama, kami meramalkan perbelanjaan pengguna mengalami pertumbuhan yang lebih lembap ekoran pengurangan kuasa membeli atau pendapatan yang boleh dibelanjakan, disebabkan oleh penarikan balik subsidi. 

"Pada keseluruhannya, kami yakin dalam berhati-hati terhadap sektor ini kerana kelembapan perbelanjaan pengguna domestik dijangka diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan aliran masuk pelancong ke negara ini sempena TMM 2014," kata HLIB dalam satu nota. 
Sementara itu, Kenanga Research berkata tekanan kos inflasi berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pengurangan subsidi selanjutnya boleh menghakis margin perniagaan. 

Bagaimanapun, ia percaya sektor makanan dan minuman boleh dikatakan tidak akan terjejas, dan menjangka syarikat-syarikat dalam sektor ini meraih manfaat daripada inflasi dorongan kos, di samping dapat memindahkan kos yang semakin meningkat itu kepada pengguna. 

Sebaliknya, peruncit dan syarikat minuman adalah pihak yang menghadapi risiko paling tinggi kerana produk mereka lebih berasaskan budi bicara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment