Friday, January 10, 2014

Bukan menghentam sekadar rayuan simpati marhaen


Publication: HM
Date of publication: Jan 10, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Seawal jam 8 pagi, Khamis minggu lalu, berderu penduduk sekitar Bercham, Ipoh, `menghurungi' Pejabat Pos di Taman Canning. Jumlahnya cukup luar biasa hingga ada yang terpaksa berbaris hingga ke luar pintu pagar.

Wajah masing-masing seolah tidak sabar menanti. Ada yang terjenguk-jenguk melihat nombor giliran manakala sesetengahnya bersungut penat berdiri.

Mereka hadir bukanlah untuk membeli setem atau membayar bil tertunggak tetapi tidak sabar untuk mengeluarkan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan pada 19 Disember tahun lalu.

Bagi mereka, wang dividen ini penyelamat keluarga. Besar maknanya walaupun jumlah diperoleh hanyalah beberapa ratus sahaja.

Ismail Mat Isa, 40, seorang pekerja pembersihan taman ditemui menadah syukur dengan wang dividen sebanyak RM261.

"Bagi orang gaji besar, memang nampak sikit. Tapi wang inilah dapat bantu saya membayar buku sekolah anak, yuran sekolah agama dan tambang bas sekolah untuk tiga anak.

"Cukup atau tidak. Ini ikhtiar terakhir. Saya tunggu juga wang bantuan persekolahan RM100, namun duit itu hanya akan diberi pada 15 Januari nanti. Alangkah baik jika ia diberi awal sebelum sesi persekolahan bermula," keluhnya.

Baginya tekanan amat dirasai apabila barang makin mahal hinggakan baju dan kasut sekolah baru untuk anak pun tidak terbeli.

Keluhan ini pastinya bukan 'kes terpencil' berikutan isu kenaikan harga barang menjadi buah mulut hampir semua lapisan masyarakat di desa atau kota. Malah, masyarakat Orang Asli di Chenderiang, Tapah yang ditemui wartawan minggu lalu turut bersungut dengan kenaikan harga makanan kering seperti roti dan beras.

Bagi mereka hidup makin tersepit dengan pendapatan yang masih statik. Tiada perubahan ketara sedangkan harga barangan dan perkhidmatan berlumba-lumba naik.

Tiada lagi harga ayam RM3.40 sekilogram seperti lima tahun lalu atau ikan kembong RM7 sekilogram. Semuanya kini meningkat antara RM4 hingga RM5 sekilogram. Roti yang dahulunya RM1.70 kini dijual lebih RM2.50.

Gaji naik hanya sedikit tetapi harga barang makanan melonjak hampir 50 peratus. Belum dikira harga susu bayi, lampin pakai buang, bayaran bulanan pengasuh anak, petrol harian ke tempat kerja, tarif elektrik baru serta pelbagai hutang ansuran.

Berbicara dengan kumpulan pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) di Parlimen Batu Gajah. Nada sama turut dilahirkan. Ramai mempersoalkan kenaikan tarif elektrik.

Dakwa mereka, kenaikan kos sara hidup ibarat tsunami. Momentumnya lebih dirasai bagi golongan yang mempunyai ramai anak.

"Macam mana nak jimat lagi sedangkan gaji kecil. Semua orang tahu tahun 2014 akan berlaku inflasi mencecah 3.2 peratus. Ini fakta," kata seorang daripada mereka.

Bagi wartawan, mereka ini hanya mahu meluahkan rasa. Bukan niat menghentam penuh kerajaan. Mereka cuma mahu 'pihak atasan' lebih memahami keperitan daripada setiap ringgit dibelanjakan. Lupakan seketika isu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) kerana bimbang ia lebih disalah tafsir.

Istilah merasionalkan subsidi hanya dianggap mereka cuba mengalihkan beban kenaikan kos kepada pengguna. Semua luahan yang sampai ke telinga wartawan ini sekadar rayuan simpati dari rakyat bawahan. Bukan menghentam.

Yang pasti jiwa mereka masih sayangkan kerajaan memerintah. Cuma pinta mereka peruntukan RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek kesejahteraan rakyat serta negara diumumkan pada bajet 2014 mampu dirasai dengan ketara.

Bagi wartawan, keadaan belum tenat. Ia ibarat 'benci tapi sayang'. Maka pandai-pandailah kerajaan memujuk serta menambat semula hati rakyat yang dilanda gusar dan gundah-gulana ini.

* Penulis Ketua Biro Harian Metro Perak

No comments:

Post a Comment