Monday, January 20, 2014

Bertindak secara luar biasa


Hasan Malek membuat perbandingan harga di antara produk
1 Malaysia dengan produk jenama lain di Pusat Tranformasi Bandar
(UTC) di Pudu Sentral, baru-baru ini.
"Alhamdulillah, saya masih boleh tidur lena." Itu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, DATUK SERI HASAN MALEK kepada wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan MOHD. SHARIZA ABDULLAH dalam pertemuan di Seremban, Khamis lalu.

Namun `tidur lena’ itu bukanlah bermaksud Hasan tidak prihatin dengan isu kenaikan harga barang yang kini menjadi rungutan rakyat tetapi beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak pernah duduk diam bagi mengurangkan beban rakyat.

Dalam pertemuan itu, Hasan juga mengulas langkah-langkah tegas yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu tersebut.

UTUSAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini berdepan tekanan dari segenap penjuru dalam isu kenaikan harga barangan. Bagaimana Datuk Seri menghadapi situasi ini?

HASAN: Sebenarnya isu ini berlaku setiap tahun, cuma dari segi tahapnya berbeza. Oleh kerana keadaan ini agak luar biasa sedikit apabila orang bercakap mengenainya di mana-mana, maka kita juga kena bertindak secara luar biasa.

Maknanya semua pihak perlu memainkan peranan sebab ini melibatkan pengguna dan rakyat. Rakyat mesti diberikan pemahaman dari mana punca kenaikan harga barang. Tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata, ia melibatkan bermacam-macam faktor seperti soal cuaca, perdagangan antarabangsa, tuntutan industri dan kelemahan rantaian pembekalan. Sebab itu kita perlu bertindak secara luar biasa dan bersepadu untuk menghadapi isu ini dengan langkah pertama, menerangkan kepada rakyat.

Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua menteri turun padang. Niat Perdana Menteri cukup jelas. Beliau hendak memperkukuhkan kedudukan fiskal kewangan negara dengan memotong subsidi, menaikkan tarif, memperkenalkan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya.

Semuanya ke arah memastikan kedudukan fiskal kewangan negara bertambah mantap. Ini bagi membolehkan satu hari nanti kerajaan lagi mudah membawa banyak pembangunan dan kebajikan demi mensejahterakan rakyat.

Dalam proses itu kita perlulah berkorban sedikit, sebab itu selalu beliau sebut short-term pain for long-term gain (Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian). Dalam keadaan sekarang ini kita susah sikit supaya senang di kemudian hari nanti. Rakyat kena faham niat murni Perdana Menteri dalam keadaan sekarang supaya membantu, memberi pandangan atau syor. Beberapa hari lalu, saya kumpulkan semua pihak industri seperti industri gula, ayam dan tepung selain menemui pemimpin persatuan pengguna dengan memberi penerangan kepada mereka.

Yang paling penting di peringkat akar umbi. Sebab itu Perdana Menteri arahkan pemimpin-pemimpin turun padang bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat. Alhamdulillah saya lihat perkara itu sudah mula berjalan dan dengan izin Allah SWT, ia akan reda sedikit dan saya lihat pun akan reda. Pihak industri pula amat menyokong kita.

Saya telah berjumpa dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan mereka faham tentang keadaan serta memberi jaminan tidak akan menaikkan harga.

Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup. Semua ini akan membantu kita. Yang pentingnya pengguna mesti dididik tentang peranan, kuasa dan hak mereka untuk menjadi pengguna bijak supaya tahu membuat pilihan atau memanfaatkan peluang yang ada seperti kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Saya memang berhasrat memperkasakan lagi gerakan kepenggunaan ini.

Pembangkang menggunakan isu harga barang dengan mempersoalkan mengapa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 semuanya naik termasuk harga barangan. Bagaimanakah kerajaan hendak menjelaskan perkara ini?

Kita sudah mendapat mandat dan kita balik kepada niat baik Perdana Menteri untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Kita menuju ke arah negara maju dan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menguatkan ekonomi.

Dalam keadaan hari ini, kita perlu menerima hakikat bersusah sedikit. Tetapi dalam keadaan itu pun, kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), KR1M dan kemudahan-kemudahan lain. Saya juga bersedia menerima idea daripada rakyat.

Dalam pada itu, kita kena tanam budaya berjimat dan berhemat dalam berbelanja. Budaya kita dahulu patut kita hidupkan balik.

Pengguna pula perlu berani tampil membuat aduan. Saya juga sudah tubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula akta-akta. Selain itu, kita ada pasukan pemikir terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman untuk membantu kementerian mencari kaedah bagi menangani masalah kos sara hidup.

Pembangkang ini sebenarnya banyak fakta yang diputarbelitkan. Mereka sengaja hendak mempermainkan perasaan rakyat yang akhirnya nanti akan diketahui ini semua hanya mainan politik seperti isu GST. Belum apa-apa sudah kata ini tidak betul, hendak menyusahkan rakyat.

Membangkang memang kerja mudah, hanya mencari kelemahan orang. Rakyat esok boleh menilai. Bagi saya, gerakan kepenggunaan mesti diperkasa dan dipergiatkan. Kita sekarang sedang menguruskan sebuah negara bangsa. Kelemahan kita adalah tidak menguar-uarkan kejayaan-kejayaan kita.

Pembangkang hanya memikirkan keuntungan politik. Ini bahaya kerana nanti boleh mewujudkan ketidaktentuan, ketidakstabilan dan huru-hara yang akhirnya rakyat akan menderita.

Di Amerika Syarikat, mereka mengadakan pilihan raya dan menerima keputusan serta kembali bekerjasama. Kalau (pembangkang) mahu menentang lagi, tunggu penggal seterusnya, atur strategi tetapi biar kami (kerajaan) lakukan tugas.

Itulah semangat yang sepatutnya ditunjukkan pembangkang, bukan hendak cari kelemahan sahaja. Kalau sayangkan negara, sama-samalah saling membantu. Bagi saya kita tirulah pendekatan negara maju.

Mungkin dari segi cara kerajaan mengendalikan situasi ini, ramai merasakan menteri dan kerajaan tidak serius. Bila sudah berlaku kenaikan harga barang baru hendak menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup.

Kerajaan sentiasa membincangkan isu-isu semasa setiap minggu. Kabinet merangka pelbagai program. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti memainkan peranan sama. Tetapi pembangkang menguar-uarkan bermacam-macam pembohongan termasuk kononnya kerajaan hendak menggadaikan negara menerusi Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Mereka menguar-uarkan sesuatu yang tidak betul.

Jentera kerajaan dilihat agak lambat dalam memberikan maklum balas terhadap isu-isu yang diputarbelitkan oleh pembangkang. Komen Datuk Seri?

Itu cuma persepsi. Ramai yang melihat seolah-olah kerajaan lambat bertindak. Sebenarnya, kerajaan telah melaksanakan banyak langkah dan program. Mungkin, kita perlu lebih agresif menguar-uarkan segala tindakan yang diambil oleh kerajaan dan kejayaan yang dicapai. Kita juga berharap rakyat mensyukuri segala nikmat yang mereka kecapi mengikut kepercayaan agama masing-masing. Negara ini bertuah kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang ikhlas meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Pihak pembangkang juga jangan terlalu ghairah mencari kelemahan kerajaan sahaja sehingga tidak dapat melihat hasil-hasil kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan.

Adakah kaedah yang digunakan untuk menguar-uarkan program-program yang dilaksanakan kerajaan terlalu ‘bombastik’ sehingga sukar difahami rakyat?

Kita perlu cari jalan untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Saya sendiri sering turun padang ke kawasan kampung dan pedalaman. Secara umumnya, kualiti hidup rakyat termasuk masyarakat Orang Asli telah meningkat. Ada Orang Asli yang menjadi akauntan dan jurutera. Semuanya hasil kejayaan dasar-dasar kerajaan. Kita mesti memanfaatkan segala kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan.

Pada pandangan Datuk Seri, jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan itu mampu meredakan kemarahan rakyat terhadap kerajaan?

Saya lihat keadaan kembali reda setelah rakyat mendengar penjelasan daripada para pemimpin yang turun padang berjumpa mereka.

Jawatankuasa itu juga akan menggiatkan usaha mempromosi dan memperbanyakkan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk meringankan beban hidup rakyat. Akhirnya, masalah ini akan reda. Kerajaan sememangnya serius dan komited.

Ada pihak berpandangan penubuhan jawatankuasa Kabinet itu menunjukkan seolah-olah kerajaan panik.

Tidak. Sebenarnya jawatankuasa ini memang telah lama ditubuhkan malah inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat turut dimasukkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Kita telah melaksanakan program-program seperti KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia secara berterusan.

Namun, bila isu kenaikan harga barang timbul, yang sering kedengaran suara pihak pembangkang yang bunyinya lantang tetapi tidak berisi. Mereka tahu cakap sahaja. Sekiranya ada kelemahan dalam program-program yang dijalankan, kerajaan akan perbaiki.

Program apakah yang dalam perancangan kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah?

Rakyat digalakkan mengamalkan budaya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat. Mereka perlu dididik dalam aspek ini.

Pembaziran seharusnya dikurangkan. Perdana Menteri juga telah mengumumkan 11 langkah penjimatan oleh kerajaan. Apabila kita berjimat, keadaan akan menjadi bertambah stabil. Program Menu Rakyat 1Malaysia yang disertai lebih 1,000 premis menjual makanan boleh membantu rakyat berjimat. Saya sendiri pernah bersarapan pagi di sebuah kedai yang menyertai program itu dengan berbelanja sebanyak RM2 sahaja. Pihak media juga boleh membantu dengan menguar-uarkan program-program sebegini.

Mungkinkah isu kenaikan harga barang ini berpunca daripada ‘permainan' pihak industri itu sendiri?

Pada pandangan saya, memang ada. Cuma, saya tidak suka membuat tuduhan tanpa disokong dengan bukti. Saya menggalakkan orang ramai membuat aduan tentang kegiatan ini kepada kementerian malah mereka boleh melakukannya secara sulit. Saya telah menubuhkan jawatankuasa bersepadu untuk menangani kegiatan cetak rompak dan jenayah kolar putih. Kita sedang mendapatkan fakta. Setelah fakta diperolehi kita akan mencekup mereka. Agensi-agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut dilibatkan dalam jawatankuasa bersepadu itu.

Bercakap tentang soal penguatkuasaan, boleh Datuk Seri kongsikan kejayaan Ops Harga 2 yang dilancarkan KPDNKK setakat ini?

Dalam tempoh dua minggu pertama Januari 2014, sebanyak 147 kesalahan dikesan membabitkan pemborong dan peruncit dengan nilai rampasan sebanyak RM16,834 menerusi Ops Harga 2 yang dijalankan di seluruh negara. Jumlah kompaun pula sebanyak RM21,050. Kebanyakan kes melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. Premis yang dikenakan notis perlu mengemukakan sebab mengapa mereka tidak meletakkan tanda harga dan bukti harga jualan.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,937,015 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara ke atas semua jenis perniagaan. Hasil pemeriksaan proaktif ini, sebanyak 8,705 kesalahan dikesan dengan nilai rampasan berjumlah RM34,098,496 dan kompaun RM527,011. Kes-kes berkenaan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Apakah strategi khas KPDNKK sendiri bagi menangani isu kenaikan harga barang agar tidak menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana?

Pada tahun ini, kementerian akan meningkatkan langkah-langkah agar tiada kegiatan pengambilan untung secara berlebihan atau kenaikan harga yang berpunca daripada kegiatan manipulasi.

Peniaga-peniaga yang didapati berbuat demikian akan diberi notis tunjuk sebab. Mereka yang gagal memberi maklum balas ke atas kenaikan ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kementerian juga berhubung secara terus dengan pihak industri khususnya pengilang dan peniaga bagi memantau kenaikan harga barangan serta perkhidmatan secara langsung. Kerajaan juga mengawal harga barangan keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang dengan melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2014. Skim ini akan terus dilaksanakan bagi mengawal kenaikan harga barang keperluan semasa permintaan meningkat menjelang musim perayaan.

Pemantauan turut dijalankan ke atas pergerakan harga di pasaran dan penguatkuasaan undang-undang dilakukan sekiranya didapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas para peniaga jika tidak mematuhi arahan dan melanggar peraturan.

Kita serius dalam menangani isu ini dan akan memastikan peniaga yang tidak beretika dihadapkan ke mahkamah.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment