Thursday, January 2, 2014

Antara BR1M, bantuan bencana, kenaikan harga


ARKIB : 30/12/2013
Oleh Dr. Ahmad Zaki Ismail
PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

TAHUN 2013 sudah mula melabuh tirai dan 2014 bakal menjelma. Banyak pahit manis sudah dilalui sepanjang tahun ini. Ada yang dapat dijadikan teladan ada yang perlu dijadikan sempadan. Namun kepada kita rakyat negara ini masih dikira sangat bertuah sebab banyak mengamalkan sikap bertolak ansur, baik sesama rakyat sehinggalah ke peringkat kepimpinan negara.

Malahan kita masih boleh tersenyum dan berjabat tangan dalam apa sahaja keadaan meskipun berlainan pendapat dan berlainan agama. Inilah indahnya negara tercinta Malaysia.

Namun ini tidak semestinya akan kekal selamanya jika tidak dipelihara secara saksama dan terurus. Maksudnya, situasi ini bukan wujud dengan sendiri dan tidak terjamin akan kekal sebegitu. Malah tidak keterlaluan kalau kita ibaratkan ia seperti pepatah lama, 'sekali bah sekali pantai berubah.'

Selepas tamatnya musim berpolitik dan pilihan raya, nampaknya gelombang besar yang timbul hasil daripadanya masih belum berakhir dan ia dapat dilihat dengan nyata riaknya yang masih bergolak dan berkocak.

Semua parti komponen Barisan Nasional menerima impak besar begitu, juga parti lawan pembangkang masih lagi saban hari cuba merapatkan saf dan memperbaiki strategi termasuk mengadakan rombakan dalaman melalui pelbagai cara dan upacara.

Namun bagi rakyat biasa yang tidak terlibat secara aktif dan khusus dalam politik kepartian berlainan pula persepsi mereka. Kalau kita buka telinga dan mata, komentar di warung kopi dan laman sosial banyak mengupas komentar golongan ini yang rata-ratanya meluahkan rasa jelik, marah, benci, geram dan sakit hati terhadap para politikus yang masih lagi rakus kononnya ingin memberi bakti kepada rakyat jelata.

Namun kesemuanya tidak dapat dibuktikan secara realistik melalui bentuk tindakan dan diterjemahkan kepada pembaikan perkhidmatan bagi kehidupan sebenar rakyat yang semakin terhimpit dengan masalah ekonomi keluarga yang asas, termasuk keperluan tempat tinggal, makan minum, persekolahan, dan kesihatan.

Meskipun kita diberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi hakikatnya bantuan sekali setahun itu tidak memberikan sebarang makna jika dihadiahkan pula dengan pelbagai kenaikan yang berganda-ganda terhadap barang kepenggunaan.

Bermula dengan gula, minyak nampaknya melarat pula kepada tambang perkhidmatan bas sekolah kemudian berjangkit kepada tarif elektrik dan tidak mustahil pula tol, kemudiannya mungkin teksi, bas biasa dan apa sahaja akan menyusul seolah-olah tanpa noktah.

Kita perlu ingat bahawa dalam teori ekonomi hierarki kehendak, keperluan utama manusia adalah kehendak asas iaitu makanan, tempat tinggal, dan pendidikan. Sekiranya perkara asas ini gagal diberikan solusi dan tidak dapat dipenuhi maka besar kemungkinan negara akan menuju ke arah kehancuran. Manakan tidak perut yang lapar, otak yang kosong dan tempat tinggal umpama di kolong tentu menyebabkan rakyat lebih terdorong menjadi 'polong.'

Kemudian negara dikejutkan dengan bencana di luar jangka banjir besar pula melanda. Katanya lebih buruk daripada bah besar puluhan tahun lalu. Malahan terburuk sehingga di luar jangkaan sehingga pusat penempatan banjir yang selama ini tidak dilimpahi air bukan setakat menerima impak biasa, malah sesetengahnya tidak dapat beroperasi kerana ditenggelami air.

Tentunya kerugian bukan sekadar wang ringgit tetapi melibatkan harta benda dan punca pendapatan juga turut terjejas. Bayangkanlah nasib para petani dan nelayan, para penternak dan peniaga biasa yang sudah tentu tidak mampu untuk bangun serta-merta untuk membina kembali kehidupan baru.

Kedatangan tahun baharu bermakna perbelanjaan luar jangka turut bertambah termasuk keperluan persekolahan anak-anak. Kepada mereka yang bergelar jutawan tidak ada apa yang perlu dirisaukan, tetapi kepada rakyat di pedalaman yang kini bukan sahaja menjadi miskin dan papa kedana akibat banjir dan bencana yang melanda tetapi turut hilang punca pendapatan.

Kemudian harga barang dan perkhidmatan pula dinaikkan. Meskipun banyak pejuang NGO yang prokerajaan cuba untuk merasionalkan tindakan-tindakan drastik memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menaikan harga gula, petrol dan sebagainya tetapi sampai bila mereka berupaya menyokong pagar-pagar yang menjadi duri kepada keputusan tidak bijak dan tidak kena pada masanya ini terus berlaku.

Umpama harimau jinak tetapi dibiarkan kelaparan dan selalu dipermainkan dan ditarik ekornya tentulah ia akan latah. Apabila latah tentu rasional tidak lagi menjadi pertimbangan kerana ia satu tindakan yang berlaku di luar kotak jangkaan dan jangkauan biasa. Malah jika ia berlaku kerosakan yang bakal menimpa sukar untuk diperbaiki lagi.

Selain daripada itu, nampaknya maklum balas terhadap bencana di negara kita masih ditakuk lama. Operasi bantuan dan pengagihan turut tidak mencapai standard yang sepatutnya. Malah budaya sudah terhantuk baru tengadah nampaknya masih terpakai, menggambarkan gerak kerja berkaitan dengannya. Sebut sahaja bencana, itu juga yang terpampang di hadapan mata.

Walhal, banjir dan pelbagai tragedi lain bukan kali pertama dan sudah tentu strategi menangani dan mengurangkan impaknya sepatutnya sudah ada dan siap siaga pada sebarang masa dan ketika. Tidak timbul lagi rayuan di sini sana, tidak cukup pelbagai perkara.

Majlis Keselamatan Negara tentu sudah cukup tenaga kerja dan terjamin tahap profesionalisme dalam menerima amanah mereka. Tetapi nampaknya seperti ada yang kurang, baiklah kaji semula peranannya secara sama rata agar tidak calar lagi imej kepada warga rakyat jelata.

Kita khuatir segala apa yang berlaku di tahun 2013 ini menjadi rentetan pilu dan bakal menimbul keluh kesah yang berpanjangan pada tahun 2014 yang bakal mendatang.

Kerisauan juga seperti berasas apabila BR1M yang diberikan menimbulkan impak negatif yang dijadikan modal oleh musuh pemerintah yang mengaitkannya dengan umpan kepada kenaikan harga yang berterusan.

Ramai yang berpendapat biarlah BR1M tidak diberi asalkan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan. Malah biar bonus tidak diberi dan gaji tidak dinaikkan asal harga rumah masih kekal di takuk lama. Itu hanya sebahagian daripada keluhan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment