Tuesday, December 17, 2013

TPP: Barang berkualiti mahal


FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
17 Disember 2013
TPP akan membuka pasaran setiap negara peserta termasuk dalam sektor
sensitif seperti pertanian dan produk makanan. Gambar: Pasar basah di bandar Seattle, AS.

WASHINGTON DC - Amerika Syarikat (AS) tidak menafikan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan 12 negara termasuk Malaysia akan mempunyai ‘kos’ tinggi tetapi manfaatnya didakwa selari dengan nilai yang terpaksa dibayar.

Pegawai Kanan Jabatan Negara AS bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), Robert Wang berkata, TPP memang perjanjian yang berstandard tinggi namun ianya akan menghasilkan lebih banyak manfaat dalam jangka masa panjang.

“Bagi saya, ia bergantung kepada pelanggan itu sendiri. Jika anda mahu membeli sesuatu yang mahal, anda terpaksa membayar (lebih tinggi).

“Tetapi sebab utama anda mahukan produk yang mahal adalah mungkin kerana ia akan menghasilkan lebih banyak manfaat (pada masa depan),” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Jabatan Negara AS, baru-baru ini.

Beliau berkata, memang mudah untuk sesebuah negara mencapai perjanjian perdagangan yang mempunyai standard lebih rendah tetapi manfaatnya mungkin tidak sebesar perjanjian yang lebih berkualiti.

Negara peserta TPP yang telah berunding selama hampir empat tahun menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian itu, tahun ini.

Namun sasaran itu tidak dapat dicapai selepas mesyuarat terakhir antara menteri-menteri perdagangan negara TPP di Singapura, minggu lalu, tidak mencapai kata sepakat terutama dalam isu sensitif seperti akses pasaran, syarikat milik kerajaan serta hak harta intelek yang dikhuatiri akan menaikkan harga ubat-ubatan.

Sementara itu, Wang menafikan AS menghalang kemasukan China dalam TPP dan menegaskan China boleh menyertai TPP jika negara itu mampu memenuhi tuntutan dalam perjanjian itu.

“Setiap negara yang ingin menyertai TPP perlu melihat (kepada tuntutan dalam TPP) dan fikirkan sama ada mereka boleh penuhinya pada masa ini dan adakah mereka sanggup membuka ekonomi mereka pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian perdagangan bebas yang membuka akses produk dan perkhidmatan kepada negara lain juga akan menghasilkan lebih banyak pekerjaan kepada semua negara.

“Apec adalah contoh yang baik dalam kes ini. Dalam tempoh 24 tahun, purata tarif turun daripada 16 peratus kepada enam peratus dan perdagangan serta pelaburan naik dua kali ganda, sekali gus menghasilkan lebih banyak pekerjaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment