Monday, December 23, 2013

Seludup guna wanita cantik


Publication: HM
Date of publication: Dec 18, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 056
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan

Seremban: Menggunakan taktik wanita cantik untuk menyeludup dadah antara modus operandi terbaru pengedar dadah yang dikesan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk memasuki negara ini.

Walaupun penggunaan wanita bukan perkara baru, namun beberapa kes terbaru tangkapan wanita warga asing yang menyeludup dadah membabitkan mereka yang berwajah cantik dan dikatakan layak berkahwin dengan jutawan.

Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, terbaru, KDRM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 7.7 kilogram bernilai RM1.42 juta membabitkan wanita antara 29 November hingga kelmarin.

Menurutnya, seorang wanita warga Nigeria sanggup menelan dadah 71 ketul dengan kuantiti 1.02 kilogram manakala tiga wanita lain dari China menyembunyikan dalam ruang khas beg dengan jumlah berat 6.7 kilogram.

"Sebaik semua wanita itu ditahan, saya lihat gambar mereka (penyeludup dadah wanita) dan akui memang cantik dan tertanya-tanya kenapa wanita cantik buat kerja macam itu.

"Namun, ini yang dinamakan MO (modus operandi) sekarang. Mungkin mereka hendak mengelirukan pihak berkuasa supaya berfikiran kalau orang cantik, takkan hendak menyeludup dadah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah KDRM negeri ke-73 di sini, semalam.

Bagaimanapun, Khazali berkata, pihaknya masih menyiasat semua wanita cantik yang ditahan dan tidak pasti sama ada mereka dipergunakan pihak lain atau memang rela melakukan perbuatan itu.

Katanya, wanita terbabit mungkin menganggap kecantikan membolehkan mereka mengaut keuntungan besar dengan menyeludup dadah tanpa menyedari lambat laun tetap terperangkap.

Beliau berkata, sejak Januari lalu hingga bulan ini, KDRM merampas 1,582.50 kilogram dadah bernilai RM116 juta dalam 126 kes.

"KDRM KLIA mencatat rampasan tertinggi iaitu 65 kes membabitkan 710.68 kilogram dadah bernilai RM1.42 juta," katanya.

Mengulas penangkapan 11 orang termasuk empat pegawai KDRM dalam penyeludupan dadah bernilai RM14 juta di Nilai dan Lembah Klang pada Sabtu lalu hingga kelmarin, Khazali mengakui belum menerima laporan kes itu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan bekerjasama dengan polis jika kes memang membabitkan pegawai KDRM.

Dalam pada itu, pendaftaran perniagaan untuk menjadi pelesen atau boleh mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dijangka dilakukan pada Oktober atau November tahun depan sebelum pelaksanaan sistem baru percukaian itu mula dilaksanakan pada 1 April 2015.

No comments:

Post a Comment