Monday, December 23, 2013

Sasar tingkat gaji penjawat awam


Publication: BH
Date of publication: Dec 20, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 010

Kuala Lumpur: CUEPACS akan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan penjawat awam kepada RM4,000 sebulan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Presidennya yang baru, Azih Muda berkata usaha meningkatkan gaji penjawat awam termasuk kumpulan pelaksana II, seperti pembantu am dan pemandu itu akan menjadi agenda utama kesatuan berkenaan.

Azih, 56, berkata, sasaran itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan syarat kelayakan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma.

Agenda utama

"Agenda ini akan kita bincangkan pada peringkat kongres sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016 pada pemilihan Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM Cheras, di sini semalam.

Azih berkata, ketika ini penjawat awam kumpulan pelaksana dengan gaji sekitar RM1,200 termasuk elaun kakitangan awam tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, cabaran berdepan dengan kenaikan kos sara hidup bukan hanya dialami kumpulan pelaksana sebaliknya penjawat awam lain yang bergaji kurang RM3,000 sebulan, terutama di bandar.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015 akan meningkatkan pendapatan negara dan ia boleh digunakan untuk menambahbaik skim gaji penjawat awam.

"Kerajaan boleh tambah baik skim gaji, elaun dan insentif penjawat awam supaya mereka lebih fokus dengan hala tuju ditetapkan Perdana Menteri," katanya merujuk kepada sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Aziz juga menyifatkan pemilihannya sebagai Presiden CUEPACS satu amanah yang berat untuk memperjuangkan aspirasi dan kebajikan penjawat awam, turut mencadangkan supaya bekas presiden Datuk Omar Osman dilantik sebagai senator untuk meneruskan sumbangannya kepada rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment