Thursday, December 5, 2013

Rasionalisasi subsidi perlu untuk teguhkan ketahanan ekonomi - Najib


2013/12/05 - 12:08:28 PM
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan dasar
sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 bertema 'UMNO: Mewajah Masa Depan'
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata usaha rasionalisasi subsidi merupakan inisiatif konsolidasi fiskal yang perlu dilakukan demi memperteguhkan ketahanan ekonomi negara. 

Beliau berkata pelbagai program transformasi ekonomi yang dilaksanakan termasuk melalui rasionalisasi subsidi petrol dan gula telah juga telah menunjukkan kesan positif melalui peningkatan prospek penarafan kredit negara. 

"Agensi penarafan kredit utama antarabangsa Moody's (Moody's Investors Service) baru-baru ini telah meningkatkan prospek penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada positif. 

"Ini bermakna terdapat potensi untuk penarafan kredit negara dinaikkan daripada A3 kepada A2 jika dasar rasionalisasi subsidi ini diteruskan di mana hutang akan dapat dikuncupkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertema "Mewajah Masa Depan" sempena Perhimpunan Agung Umno ke-64 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. 

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata peningkatan proses penarafan kredit akan dapat mengurangkan kos pinjaman selain meningkatkan keyakinan dunia kepada Malaysia sekaligus memajukan ekonomi negara. 

"Sebagai analogi, jika kita makan ubat antibiotik, kita perlu mengambilnya mengikut jadual yang ditetapkan dan perlu makan sehingga habis. Barulah kita akan sembuh sepenuhnya," katanya. 

Beliau juga menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional menaikkan harga minyak sebaik menang pilihan raya sebagai tidak benar memandangkan harga komoditi itu bergantung kepada pasaran antarabangsa dan berada di luar kawalan ekonomi dalaman sesebuah negara. 

"Sebenarnya harga minyak tak naik, cuma kita kurangkan subsidinya sahaja sebagai langkah rasionalisasi. Ini kerana kita tidak boleh lagi terus kekal menampung subsidi petrol yang mencecah RM24.8 bilion setahun. 

"Tambahan lagi subsidi sebelum rasionalisasi ini diberikan secara pukal sehinggakan mereka yang tidak layak untuk dapat, juga turut menerima," kata Najib. 

Untuk itu, katanya, kerajaan kini memberikan subsidi bersasar kepada kelompok yang memerlukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang secara berperingkat akan mencapai jumlah RM1,200 kelak, termasuk caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia bernilai RM50 kepada semua ketua isi rumah penerima bantuan itu yang memberi perlindungan maksimum RM30,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal. 

Transformasi ekonomi Malaysia, kata Najib, bukan sahaja menerima pengiktirafan dari dalam negara, malah prestasinya turut diakui penilai antarabangsa. 

Beliau memberi contoh peningkatan Pendapatan Negara Kasar perkapita yang melonjak daripada AS$257 pada 1957 kepada AS$9,970 pada tahun lepas, iaitu peningkatan hampir 4,000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad. 

Katanya pendapatan per kapita juga bakal meningkat sebanyak 37 peratus apabila ia dijangka mencecah RM34,126 pada 2014 berbanding RM24,879 pada 2009. 

"Jika dicongak, besar kemungkinan pendapatan per kapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran RM46,500 atau AS$15,000. Ertinya di sini, Insya-Allah, kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020," tambahnya. 

Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa kadar inflasi negara juga kekal pada paras 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini. 

Di hadapan hampir 3,000 perwakilan Umno dari seluruh negara, Najib turut mengambil kesempatan menerangkan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sering dipergunakan pembangkang bagi menakut-nakutkan rakyat seolah-olah kerajaan menindas mereka. 

Najib berkata, Malaysia perlu turut sama melaksanakan sistem percukaian itu, yang terbukti berkesan setelah dilaksanakan di lebih 160 negara, untuk kekal kompetitif. 

"Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah menggunapakai sistem percukaian ini, tambahan pula GST pada kadar enam peratus ini merupakan yang terendah di kalangan negara Asean," katanya. 

Semasa membentangkan Bajet 2014 Oktober lepas, Perdana Menteri mengumumkan cukai tunggal GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, dan akan dikuatkuasakan pada 1 April, 2015, pada kadar enam peratus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment