Monday, December 2, 2013

Rasional kenaikan tarif elektrik


ARKIB : 01/12/2013

KHAMIS lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, DATUK SERI DR. MAXIMUS JOHNITY ONGKILI mengesahkan spekulasi pelbagai pihak mengenai kenaikan taraf elektrik yang akan bermula awal tahun depan.

Dengan kerajaan membelanjakan sebanyak RM12 bilion setiap tahun untuk subsidi sektor tenaga, pembaharuan kadar tarif ini bukan sahaja untuk merasionalisasikan subsidi tetapi juga meningkatkan tahap kecekapan sebagaimana dirangka dalam transformasi sektor tenaga.

Kenaikan tarif kali ini dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus. Kali terakhir tarif elektrik negara dinaikkan adalah pada Jun 2011 dengan kenaikan sebanyak 7.12 peratus iaitu kepada 33.54 sen/kWj.

Dalam pertemuan bersama wartawan beberapa organisasi termasuk daripada Mingguan Malaysia, KAMIL MASLIH, Maximus memberi penjelasan mengenai keperluan kadar baharu tarif elektrik serta bagaimana golongan berpendapatan rendah tetap dibela.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MINGGUAN: Bolehkah Datuk Seri terangkan kepentingan program transformasi sektor tenaga? MAXIMUS: Tenaga elektrik adalah isu keselamatan yang amat penting dan pada masa sama merupakan penggerak utama ekonomi negara. Dalam Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), kita mempunyai slogan iaitu tenaga adalah kekayaan, air adalah kehidupan dan teknologi mengubah permainan. Dalam hal ini, tenaga bukan sahaja merupakan kekayaan tetapi juga pemacu modal. Dalam mana-mana negara, sektor tenaga adalah komponen utama negara dan memang wujud kaitan yang amat rapat antara penggunaan tenaga dengan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK). Sehubungan itu, kerajaan mengiktiraf kepentingan sektor tenaga dan sejak lima tahun lalu, telah melihat kepada kepentingan program transformasi sektor tenaga. Dahulu memang ada kebimbangan terhadap transformasi yang akan dilakukan namun tiga isu utama yang diberi perhatian adalah tahap efisien, persaingan, harga serta subsidi.

Apakah cabaran dalam melaksanakan program transformasi ini?

MAXIMUS: Dalam teraju Menteri yang terdahulu, isu kecekapan, persaingan dan harga ini telah mendapat perhatian Kabinet, malah banyak juga cadangan telah dilaksanakan. Berikutan itu, cadangan ring-fencing (pemecahan pengkhususan) terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dikemukakan bagi melihat pengkhususan dalam syarikat utiliti yang merangkumi penjanaan, transmisi dan pembekalan dapat dibahagikan kepada lima jabatan berbeza. Ini untuk menjana modal dan meningkatkan tahap kecekapan.

Kita perlu memastikan modal yang dilaburkan dapat memberi pulangan. Dalam pelaksanaan ring-fencing, pendapat yang berbeza dinyatakan kesatuan pekerja TNB yang tidak mahu dipecahkan kepada kumpulan tertentu namun kerajaan memberi jaminan kepentingan semua golongan akan dipelihara. Kita juga kini lebih teliti melihat persaingan yang kompetitif daripada kesemua penjana tenaga bebas (IPP).

Bagaimana Datuk Seri melihat transformasi ini dalam peranan dimainkan TNB?

MAXIMUS: Pelabur antarabangsa dalam industri telah memberi maklum balas yang positif terhadap program transformasi ini dan semestinya pengurusan TNB perlu memenuhi harapan yang disandarkan. Selepas ini, keuntungan juga bergantung kepada parameter yang dicapai di samping garis panduan oleh MyPower Corporation yang telah dipertanggungjawab mengkaji struktur sektor tenaga.

Ini adalah ketelusan dalam proses membuat keputusan. Begitu juga dalam proses pembidaan kontrak yang kini kompetitif. Kita telah melalui perjalanan jauh dan ini adalah kunci transformasi, kerajaan menyokongnya, TNB menerimanya dan Suruhanjaya Tenaga (ST) memantaunya.

Saya boleh katakan TNB pada hari ini adalah jauh berbeza dengan TNB lima tahun lalu. Dari segi sistem dan rangka kerja, sudah banyak beza dan memperlihatkan peningkatan. Sehubungan itu, dalam kita mengkaji input dan tarif, hakikatnya TNB perlu mendapat margin keuntungan. Soalannya, kenapa tarif perlu dinaikkan dan kos dialihkan kepada pengguna? Kalau dahulu memang kita hanya melihat daripada perspektif TNB sahaja tetapi polisi kerajaan sekarang adalah untuk mengurangkan subsidi dan meningkatkan tahap kecekapan. Kita melihat ini secara menyeluruh.

Hakikatnya, kos sentiasa meningkat, malah harga minyak dan gas asli tidak pernah turun sebaliknya terus meningkat. Pengimbangan memang patut dilakukan tetapi syarikat utiliti tidak boleh meminta begitu sahaja untuk tarif dinaikkan. Mereka perlu buktikan tahap efisien itu di samping kita faham pelabur mahu mendapatkan pulangannya. Dari segi imej antarabangsa, semestinya program ring-fencing yang dibuat menunjukkan ketelusan di antara organisasi di dalam sektor tenaga. TNB wajar dipuji atas program transformasi yang dilakukan dan penghargaan bukan sahaja kepada pihak pengurusan tetapi juga pekerja yang turut mendapat manfaat.

Datuk Seri berkata tadi mengenai kos perlu dialihkan kepada pengguna, bilakah kenaikan tarif ini akan dilaksanakan?

MAXIMUS: Saya berpendapat dalam kita mengalihkan kos kepada pengguna, kita juga perlu memikirkan impaknya terhadap pengguna. Sekiranya kita melaksanakan pengurangan subsidi, kita mesti menjaga kumpulan (berpendapatan rendah) yang menerima kesan paling besar. Penstabilan ini perlu dilakukan dan kerajaan mempunyai perancangan. Satu pihak akan tetap perlu membayar untuk menjaga golongan berpendapatan rendah, ini mungkin daripada peringkat kerajaan. Buat masa sekarang, untuk golongan berpendapatan rendah yang menggunakan 200 kilowatt sejam (kWj) ke bawah, kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM150 juta setahun.

Apakah jaminan kerajaan kepentingan golongan berpendapatan rendah itu akan terbela?

MAXIMUS: Syarikat utiliti memang meminta tarif dinaikkan dan kerajaan perlu membuat keputusan akhir. Namun adalah menjadi hasrat kerajaan agar golongan berpendapatan rendah tidak terlalu terjejas. Pihak utiliti mungkin ada pandangan berbeza namun ini adalah pandangan kerajaan. Sementara itu, dalam kita merasionalisasikan subsidi, sebahagian wang yang dijimatkan akan disalurkan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kita melihat secara terperinci soal pengalihan kos dan program penstabilan ini.

Saya mempunyai pendapat jelas mengenai subsidi. Saya rasa tiada salahnya subsidi sebagai pengagihan pendapatan kerana kita juga memerlukan subsidi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, subsidi tidak boleh kekal selama-lamanya. Soalan yang kita perlu tanya adakah subsidi masih lagi merangsang aktiviti keusahawanan serta inovasi, adakah subsidi itu sudah sampai kemuncak maksimumnya? Bagi saya, kalau negara-negara maju kata mereka tolak subsidi, itu semua temberang kerana mereka dengan jelas beri subsidi dalam pelbagai sektor termasuk komoditi kacang soya. Subsidi boleh melindungi golongan yang terjejas dalam sistem pasaran bebas dan juga menyemarak inovasi namun masyarakat tidak boleh terus hidup dengan subsidi.

Berapa kadar kenaikan tarif elektrik baharu dan bagaimana mekanisme penstabilan dilaksanakan?

MAXIMUS: Kali terakhir tarif elektrik dinaikkan adalah pada tahun 2011 dan spekulasi mengatakan kenaikan adalah sama ada akhir tahun ini atau pada Januari 2014. Persoalan juga adalah berapa banyak peratus kenaikan yang berpatutan dan boleh dipertimbangkan. Syarikat utiliti akan meminta kenaikan setinggi yang boleh untuk mendapatkan pulangan modal dengan kerajaan memang perlu mengurangkan subsidi secara beransur-ansur. Kita juga memahami syarikat utiliti perlu menampung kos. Saya berpendapat apa sahaja di bawah 20 peratus (kenaikan) adalah berpatutan. Dalam hal ini, syarikat utiliti meminta kenaikan lebih daripada 20 peratus tetapi saya rasa kadar kenaikan antara 10 hingga 20 peratus adalah boleh diterima dalam kerajaan mengurangkan subsidi. Kenaikan ini adalah antara enam hingga 7 sen untuk setiap kWj.

Ada pihak yang mengaitkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadi sebab kenaikan tarif elektrik, adakah perkara ini benar?

MAXIMUS: Kenaikan tarif elektrik dan GST adalah dua isu yang berbeza. GST masih ada tempoh kira-kira setahun setengah sebelum dilaksanakan dan senarai akhir barangan serta perkhidmatan yang dikecualikan cukai masih belum diputuskan.

Datuk Seri katakan tadi kenaikan tarif elektrik berkemungkinan sebanyak 20 peratus tetapi ada pihak yang berpendapat jumlah itu terlalu tinggi dan mendadak?

MAXIMUS: Soal kadar terlalu tinggi ini bergantung kepada peringkat kumpulan pendapatan mana yang anda berada. Kenaikan sebanyak 20 peratus adalah antara 6 hingga 7 sen untuk setiap kWj dan masih lagi berpatutan. Sekiranya kerajaan tetap membiayai subsidi untuk golongan menggunakan 200 kWj ke bawah, golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas. Rancangan kita adalah memperbaharui tarif kepada tahap yang minimum dan berpatutan bagi mencerminkan kos dan pelaburan yang telah dilakukan TNB. Kerajaan akan memutuskan berapa banyak penjimatan yang dibuat ini disalurkan kepada program sosioekonomi yang lain tetapi pengurangan subsidi secara beransur-ansur ini secara tidak langsung menjadikan sektor tenaga begitu menarik kepada pelabur.

Berapakah jumlah keseluruhan subsidi yang disalurkan kerajaan kepada sektor tenaga?

MAXIMUS: Jumlah subsidi kerajaan untuk sektor tenaga adalah RM12 bilion setahun. Untuk subsidi khusus kepada golongan berpendapatan rendah menggunakan 200 kWJ ke bawah, subsidi yang dibelanjakan kerajaan adalah RM150 juta. Sebenarnya, soal subsidi sektor tenaga ini juga amat membabitkan Petronas, lagi banyak subsidi yang diberikan, lagi sedikit dividen yang diperoleh perbendaharaan negara daripada Petronas. Dalam menentukan kadar tarif, kita juga mengambil kira kadar tarif di negara-negara lain. Singapura misalannya dipacu pasaran dan tidak mengambil kira soal subsidi namun persaingan lebih kompetitif di Thailand. Saya berpendapat penetapan tarif baharu ini perlu melihat konteks pasaran terutamanya dari segi rantau ASEAN.

Bilakah sebenarnya kerajaan akan mengumumkan tarif elektrik baharu?

MAXIMUS: Saya menjangkakan pengumuman tarif baharu elektrik pada tahun hadapan dan saya jamin tiada pengumuman kenaikan tahun ini. Dengan kenaikan harga minyak dan gas, pihak utiliti berharap mendapat pulangan modal sewajarnya dan kerajaan berhasrat melaksanakan program subsidi yang dapat sampai terus kepada golongan sasar. Kita ada kira-kira empat mesyuarat Kabinet sebelum tahun hadapan, jadi sama-sama kita menunggu.

Adakah dalam tarif baharu ini akan berlaku pengimbangan antara kos yang perlu ditanggung antara pihak industri dengan pihak isi rumah?

MAXIMUS: Sekiranya berlaku peningkatan kadar tarif, semua pihak sama ada industri atau isi rumah akan menerima kesan kecuali golongan berpendapatan rendah. Bagaimanapun, kerajaan menyedari sebarang kenaikan tarif akan mempunyai kesan terhadap pelan pelaburan mana-mana pihak terutamanya pelabur luar. Seringkali pihak industri akan mengugut untuk berpindah ke negara yang menawarkan perkhidmatan lebih murah. Saya telah mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dari negara ASEAN di Bali, Indonesia enam minggu lalu dan kita telah mengadakan banyak perbincangan mengenai kadar tarif yang kompetitif dan mencerminkan kos sebenar.

Adakah akan berlaku perubahan dari segi dasar kerana kalau kita lihat dasar sebelum ini, lagi banyak tenaga yang digunakan, lagi banyak bil yang perlu dibayar?

MAXIMUS: Kita sebenarnya mahu meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga dan pengurusan air. Apa yang berlaku sekarang adalah terlalu banyak pembaziran. Bagi meningkatkan tahap efisien pengurusan tenaga, perkara yang perlu dilaksanakan bukan sahaja melibatkan teknologi dan pelaburan tetapi juga sikap masyarakat. Sehubungan itu, kementerian akan menubuhkan Yayasan Hijau yang bekerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation untuk mempromosikan penggunaan tenaga yang efisien. Malah, saya baru-baru ini juga telah didedahkan dengan teknologi dari Australia yang menggunakan tenaga solar untuk menerangkan lampu dalam bangunan pada waktu siang.

Bagaimana dengan kedudukan IPP generasi pertama, adakah kontrak mereka disambung?

MAXIMUS: Tidak semua kontrak IPP diperbaharui, mereka perlu menawarkan sebut harga dan sehingga kini, hanya dua daripada lima IPP generasi pertama yang disambung kontraknya iaitu Genting Sanyen Power dan Segari Energy Ventures. Mereka disambung kontrak 10 tahun selepas mengambil kira tahap efisien dan harga.

Kontrak baharu untuk IPP generasi kedua akan dibuka pada 2016 dan 2017. Sektor tenaga bukan lagi perkara yang mudah, mereka perlu membuat pelaburan untuk mendapat pulangan. Dalam perkara mengenai IPP, proses pembaharuan kontrak dilakukan secara kompetitif berdasarkan pelaburan, input dan harga. Proses tidak lagi semudah dahulu malah mereka yang ingin memperbaharui kontrak IPP untuk kali kedua juga mesti memasuki proses penawaran yang mana mereka perlu benar-benar layak menerimanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment