Wednesday, November 6, 2013

Sistem percukaian terbaik atasi kelemahan SST


Publication: BH
Date of publication: Nov 5, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Ayop Razid

Ketika membentangkan Bajet 2014, kerajaan mengumumkan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kadar GST yang ditetapkan adalah sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan 5 dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus. Sebenarnya GST sudah pun dicadangkan beberapa tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mahu tergesa-gesa melaksanakannya sebelum kajian terperinci dibuat.

Kelemahan SST

Sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya pada 2015, kajian teliti dan menyeluruh sudah dibuat. Dalam kajian itu, kerajaan mendapati SST yang sudah dilaksanakan sekian lama mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga.

Justeru, dengan pelaksanaan GST nanti kelemahan yang merugikan rakyat dan kerajaan akan dapat diatasi. Jelas sekali bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru, tetapi menggantikan cukai SST yang banyak kelemahannya.

Pada asasnya, pelaksanaan GST memperluas dan memperkukuhkan asas kutipan cukai negara. Ia juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai peribadi. GSTadalah sistem percukaian terbaik yang sudah dilaksanakan oleh majoriti negara dunia (160 negara).

Pelaksanaan GST membolehkan cukai dapat diselaraskan secara menyeluruh dan mampu menjadikan ekonomi negara bertambah makmur. Ramai yang beranggapan bahawa GST akan membebankan golongan pertengahan dan miskin. Anggapan negatif ini kebanyakannya adalah disebabkan tindakan pembangkang mempolitikkan GST.

GST tak bebankan rakyat

Sikap mereka tidak lebih daripada usaha mensabotaj pelaksanaan GST. Mereka tidak berlaku adil terhadap kepentingan nasional. Sebenarnya GST tidak pun membebankan rakyat. Pengguna hanya perlu membayar sekali cukai berbanding sistem cukai SST.

Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung sama ada ia barangan asas atau tidak. Justeru, dakwaan sesetengah pihak mengatakan pelaksanaan GST akan menyebabkan semua barangan melambung naik adalah kenyataan liar tidak bertanggungjawab.

Rakyat perlu faham tidak semua barang akan dikenakan cukai terbabit. GST tidak dikenakan kepada barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dal, rempah ratus dan pelbagai makanan asas yang lain.

GST juga tidak akan dikenakan untuk bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik. Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan juga dikecualikan daripada GST.

Selain itu, perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pengeluaran pasport dan lesen, persekolahan serta kesihatan juga tidak dikenakan GST. Turut dikecualikan GST ialah jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.

Walaupun pada asasnya GST tidak membebankan golongan terbabit, namun kerajaan masih menyediakan mekanisme terbaik bagi membantu golongan pertengahan dan miskin.

Ayop Razid
Putrajaya

No comments:

Post a Comment