Friday, November 1, 2013

Sistem GST lebih adil kepada orang ramai


by Andy Sabang. Posted on October 28, 2013, Monday

SIBU: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih adil kepada orang ramai berbanding struktur cukai yang diguna pakai pada masa kini.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata selain dapat mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai negara, GST membenarkan orang ramai menentukan sendiri jumlah cukai yang ingin dibayar melalui corak perbelanjaan mereka.

“Anda sendiri pilih apa yang anda mahu bayar berdasarkan perbelanjaan harian, berbanding dengan cukai pendapatan di mana duit anda diambil sebelum anda membelanjakannya.

“GST ini boleh dikira memberikan semula kebebasan memilih (untuk membayar cukai) kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis di Rumah Kaunselor Brain Langit di Sungai Jih, Kanowit petang kelmarin.

Katanya, lebih 160 negara telah melaksanakan GST dan ini menunjukkan ia adalah satu sistem cukai terbaik setakat ini.

Menurutnya, sistem percukaian itu terus menjadi keutamaan kebanyakan negara maju sebagai sumber perolehan yang bermanfaat yang kemudiannya disalurkan kepada rakyat sendiri.

“Semua negara melaksanakan GST mempunyai matlamat supaya perolehan atau pendapatan mereka dapat dijana dengan lebih mapan menerusi hasil pencukaian.

“Sebab itu, tidak ada satu negara pun melaksanakan GST lalu menghentikannya kerana mereka melihat percukaian itu lebih efisien dan saksama berbanding sistem lain,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang berpendapat kesan GST kepada orang ramai tidak begitu ketara.

“Jika dilihat, perbelanjaan terbesar bagi seseorang adalah makanan asas iaitu 60 peratus daripada pendapatan.

“Barangan ini tidak dikenakan cukai jadi kesannya kepada individu tidak ketara.

“Perkhidmatan kesihatan, perumahan, pengangkutan awam dan pendidikan juga dikecualikan daripada cukai,” katanya.

No comments:

Post a Comment