Friday, November 15, 2013

Penjelasan GST: Pelaksanaan elak aktiviti pasaran gelap


2013/11/14 - 06:48:34 AM

Labuan: Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membantu mengurangkan aktiviti pasaran gelap dalam negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. 

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu berada pada kadar 20 hingga 25 peratus sekarang berbanding beberapa negara maju pada 10 hingga 15 peratus. 

“GST dapat membantu mengurangkan aktiviti itu yang wujud di banyak negara,” katanya sambil menambah, langkah agresif untuk mempromosi GST bermula dengan pembabitan semua jentera kerajaan yang relevan termasuk menggunakan laman web, media arus perdana dan media sosial. 

Terlewat tujuh tahun 

Beliau berkata, pemimpin masyarakat di luar bandar juga mula memberi penerangan kepada rakyat dan mengedarkan risalah serta brosur mengenai sistem itu yang perlu dilaksanakan bersama-sama 160 negara membangun dan maju lain kerana Malaysia sudah terlewat tujuh tahun. 

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) masih mengkaji cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah walaupun mendapat permintaan berulang kali daripada pelbagai pihak. 

“Ia masih pada peringkat EPU dan Kementerian Kewangan, tapi kami belum dapat memberi komitmen. Saranan berulang kali daripada pemimpin agar sebuah jambatan dibina, didengar di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 
“Kami faham permintaan itu serta keperluannya dan sedang mengkaji secara serius, tapi setakat ini, belum dapat memberi komitmen,” katanya. 

Ahmad berkata, Labuan dianggap sebagai ‘Mutiara Timur’ Malaysia kerana mempunyai pasaran tersendiri dan berpotensi bukan saja untuk menjadi hab minyak dan gas, tetapi juga pusat kewangan antarabangsa. 

Ditanya sama ada cukai berjuta-juta ringgit yang dikutip setiap tahun daripada syarikat minyak dan gas boleh membantu membiayai pembinaan jambatan itu, beliau berkata, jika ada dana mencukupi, permintaan itu akan lebih realistik, namun keputusan muktamad mengenainya adalah dari Putrajaya. 

Ahmad juga memberi jaminan Kementerian Kewangan sedia membantu Labuan mencapai cita-citanya untuk muncul sebagai hab minyak dan gas antarabangsa. 

Maju sektor gas, minyak 

“Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh mengkaji untuk memajukan sektor minyak dan gas di Labuan. Dengan semakin bertambahnya bilangan peserta tempatan dan antarabangsa beroperasi di Labuan, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan, bersedia membantu menjadikan perancangan itu realiti,” katanya. 

Beliau berkata, penyertaan cergas peserta tempatan amat penting dalam membangunkan ekonomi pulau itu yang terletak di lokasi strategik dan dikelilingi telaga minyak yang menjadi petanda baik bagi kegiatan minyak dan gas. 

BERNAMA

No comments:

Post a Comment