Friday, November 1, 2013

Pembangkang putar belit isu GST dan isu gula- Ahmad Shabery


October 30, 2013

Ini bukan soal emosi dan kita akan uruskan dengan sebaik mungkin untuk jelaskan kepada rakyat

YAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia dari masa ke semasa akan memberi penjelasan kepada rakyat tentang isu-isu yang diputar belit oleh parti pembangkang, terutama isu berkaitan dasar kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata parti pembangkang kini dilihat begitu ligat memainkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu subsidi gula ditarik balik dengan harga kini RM2.84 sekilogram berbanding
RM2.50 sebelum ini.

Kementerian itu akan menerangkan dengan serasional mungkin kepada rakyat bagi mereka memahami isu tersebut, terutama penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang saban hari dihujani dengan pelbagai dakyah kotor pembangkang, katanya.

“Kita tidak guna emosi dalam hal ini sebagaimana yang dilakukan pembangkang. Ini bukan soal emosi dan kita akan uruskan dengan sebaik mungkin untuk jelaskan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gelam Tiga dekat sini, malam tadi.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran empat ‘otai’ dunia seni iaitu Datuk Hattan atau nama sebenar Mohd Shukri Sahabuddin, Datuk A. Halim, Datuk Malek Ridzuan dan ‘Raja Gelek’ Datuk M. Daud Kilau.

Ahmad Shabery berkata jika diikutkan cara pembangkang, apa yang dilakukan kerajaan sentiasa ada kesilapan, dan serba tidak kena pada mata mereka malah pembangkang terus menerus meracuni fikiran rakyat.

“Dulu kalau ikut pembangkang, kerajaan bina jambatan Pulau Pinang pun mereka tidak mahu. Sekarang apabila mereka memerintah Pulau Pinang, mereka minta pula jambatan kedua. Kerajaan nak bina lebuh raya pun mereka kata tidak boleh bina, tetapi sekarang mereka juga sebahagian pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata rakyat kini bijak menilai dan memilih, dan mampu membuat keputusan berdasarkan pemikiran yang rasional.

Menyentuh mengenai pengundi di DUN Sungai Limau, beliau berkata terdapat dua golongan pengundi di sini iaitu pengundi turun temurun dan pengundi atas pagar.

“Pengundi PAS turun temurun sebenarnya mereka tidak tahu tentang dasar tetapi sebab nenek moyang dan orang sekeliling sokong PAS, maka mereka turut sokong PAS.

“Manakala yang atas pagar ini pula merupakan golongan yang kita bagi tumpuan untuk tarik mereka kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Samat.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment