Friday, November 8, 2013

Naza sokong kereta elektrik


Publication: HM
Date of publication: Nov 8, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 063

Kuala Lumpur: Kumpulan Syarikat Naza mengalukan langkah menggalakkan teknologi hijau dengan penubuhan Yayasan Hijau Malaysia, sekali gus menyokong pembangunan kereta elektrik (EV) di negara ini daripada infrastruktur kepada aplikasi teknologi.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Naza berkata, agak mengejutkan tiada pengumuman khusus untuk industri automotif dua tahun berturut-turut. Pengurangan cukai untuk kereta hibrid dapat mendorong pembuat dan pengimport kereta jenis itu untuk mencapai tahap kritikal kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk mencetuskan perindustrian tempatan.

Katanya, kereta hibrid sebenarnya dapat membuka peluang teknologi EEV dan Malaysia patut mengambil kesempatan untuk menjadikan teknologi EEV yang baru ini sebagai berubah dalam industri automotif negara.

"Mungkin ada sesuatu untuk dipertimbangkan di masa hadapan. Di peringkat global, industri yang lebih mesra alam ini bakal menjadi gah apabila harga minyak terus naik dan kereta EV menjadi kelaziman dan bukannya pilihan alternatif semata-mata.

"Malaysia boleh menjadi hab untuk pembangunan dan pembuatan kenderaan, komponen dan infrastruktur EEV," katanya.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2014 adalah bajet strategik dan mengutamakan perancangan fiskal untuk manfaat jangka panjang yang masih memberi perhatian kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ini penting kerana kedudukan kewangan kerajaan menentukan penakrifan kredit negara. Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan GST yang terancang disusuli pengurangan cukai individu dan korporat dari satu hingga tiga peratus adalah langkah bijak dan terancang kerana ia menggalakkan perbelanjaan dan pelaburan asing.

No comments:

Post a Comment