Wednesday, November 6, 2013

Mekanisme pastikan ketelusan cukai


Publication: BH
Date of publication: Nov 5, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz

Secara sedar atau tidak, kerajaan hari ini ke arah memperkenalkan beberapa dasar dalam Model Ekonomi Baru (MEB) bagi menggantikan beberapa dasar ekonomi sedia ada seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memastikan dasar fiskal negara terus relevan dan memenuhi tuntutan zaman.

Kurangkan defisit negara

Beberapa pendekatan baru yang akan diperkenalkan ini pada hakikatnya bertujuan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara yang kini berada pada tahap paling tinggi sejak 20 tahun kebelakangan ini. Tujuan ini dilihat amat bertepatan dengan ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan defisit negara sebaik saja mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009.

Mengambil contoh cukai barang dan perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST), ia dirancang sejak 1989 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (STT) mulai 2011. Menerusi pelaksanaan GST ini, ia dijangka akan mendatangkan pendapatan sekitar RM8.8 bilion setiap tahun kepada negara.

GST adalah cukai penggunaan atau 'consumption tax' yang dirasai jika kita menggunakan sesuatu barangan. Secara mudah, GST ini tidak beza dengan sistem cukai bertingkat yang peringkat awalnya akan dikenakan kepada pengilang sesuatu produk, dan ia secara tidak langsung akan disalurkan oleh pengilang menerusi caj yang ditetapkan kepada pemborong.

Kemudian, pemborong pula akan menyalurkan bebanan GST ini kepada peruncit dan jumlah GST yang terakhir akan disalurkan kepada harga pengguna. GST ini juga dilaksanakan di 146 negara di seluruh dunia. Malaysia berpeluang untuk menjadikan negara berkenaan sebagai contoh dan modul bagi memastikan pelaksanaannya adalah berkesan.

Namun, beberapa pertimbangan perlu diambil kira bagi memastikan mekanisme GST ini tidak tersasar daripada matlamat asal serta tidak memberi kesan inflasi kepada negara. Maka, untuk itu kerajaan seharusnya memberi pengecualian cukai tertentu seperti eksais dan sebagainya kepada syarikat kecil dan sederhana pada peringkat permulaan pelaksanaan GST ini.

Ini bagi mengelakkan bebanan yang terpaksa ditanggung mereka berikutan faktor modal yang masih belum bersedia dengan sistem cukai baru ini.

Elak pemalsuan, salah guna

Pada masa sama, satu mekanisme yang terbaik bagi memastikan ketelusan sistem cukai ini juga seharusnya diperkenalkan. Ini kerana bagi sesuatu sistem cukai, kos mekanisme yang digunakan untuk mengelakkan pemalsuan dan penyalahgunaan pelaksanaan adalah terlalu tinggi. Ia akhirnya akan dilihat berlawanan dengan matlamat asal untuk mengurangkan defisit negara apabila berlaku peningkatan kos lain yang terpaksa ditanggung kerajaan.

Selain itu, usaha untuk menggubal satu akta undang-undang untuk menyekat pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga menerusi caj yang dikenakan kepada pembeli tidak seharusnya dipandang remeh. Justeru, kita menyambut baik usaha kerajaan yang menggubal Akta Kawalan Harga sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) direalisasikan.

Kerajaan juga harus memastikan mekanisme pelaksanaan membawa kebaikan kepada negara tanpa perlu meningkatkan jumlah caj GST dari masa ke semasa seperti yang berlaku di beberapa negara yang sudah melaksanakannya.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments:

Post a Comment