Thursday, November 14, 2013

Lokasi myGST dimuktamad tak lama lagi


Publication: BH
Date of publication: Nov 13, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 004

Kerajaan pada peringkat akhir menyiapkan pusat pemprosesan dan sistem pengkomputeran selaras pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM), Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata KDM mengenal pasti Kuala Lumpur sebagai lokasi pusat pemprosesan, yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sistem pengkomputeran yang dikenali sebagai myGST itu kini telah 98 peratus siap dan sedia untuk percubaan hujung tahun ini.

"Pada bulan Disember ini, sistem myGST ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh kastam, dan selepas itu kita akan buat ujian," kata Khazali dalam satu temubual di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sistem myGST itu diharap dapat memudahkan peniaga melakukan pendaftaran, pengauditan dan tuntutan balik bayaran, tanpa perlu ke pusat pemprosesan.

"Sistem itu sudah sedia, kini perniagaan perlu bersedia untuk melaksanakan sistem baharu itu.

"Mengenai keselamatan, ia diuji oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan oleh itu tidak ada isu keselamatan dan kita ada akta mengenai data sulit," katanya.

Selain itu, sistem myGST ini juga akan disepadukan dengan beberapa agensi penting seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

No comments:

Post a Comment