Thursday, November 7, 2013

Lihat kebaikan cukai baru secara menyeluruh


Publication: BH
Date of publication: Nov 7, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Mohd Ayop

Kebanyakan kritikan pembangkang terhadap Bajet 2014 lebih bersifat politik semata-mata. Antara yang menjadi sasaran ialah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015. Pembangkang mahu mengelirukan rakyat kononnya GST menzalimi dan membebankan.

Sepatutnya mereka melihat pelaksanaan GST secara holistik dan realistik. Pembangkang juga sepatutnya sedar ia akan mula dilaksanakan kira-kira 17 bulan dari sekarang. Tempoh ini memberi peluang kepada peniaga dan syarikat untuk membuat persediaan dan memberi ruang untuk rakyat memahaminya. Malah, kerajaan masih bersedia menerima pandangan mengenai pelaksanaannya.

Persepsi buruk pembangkang

Namun, menyatakan pelaksanaan GST akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab sedangkan kebaikannya belum dirasai lagi. Nyata pembangkang cuba memberikan persepsi buruk terhadap pelaksanaan GST.

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST, maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu saja. Ini berdasarkan kepada GSTadalah cukai penggunaan iaitu berkonsepkan lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar. Golongan berada biasanya mengguna lebih dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GSTadalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Bayar harga lebih mahal dengan SST

Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada masa sekarang, pengguna tanpa mengira kelas pendapatan membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka. Namun, cukai yang dibayar itu terutama cukai jualan tidak tercatat di dalam resit kerana ia terselindung dalam harga bayaran.

Apabila GST dilaksanakan beban cukai ditanggung akan turun. Ini bermakna dengan pelaksanaan GSTkebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga. Yang penting ialah apabilaGST dilaksanakan pihak peniaga seharusnya menyalurkan penjimatan tersebut melalui penurunan harga.

Kajian mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) akan mengalami penurunan sebanyak lapan hingga 10 peratus. Kita yakin dengan penubuhan jawatankuasa pemantau dapat memastikan GST dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Kerajaan juga dari semasa ke semasa akan menilai impak sosial terhadap rakyat.

Mohd Ayop
Putrajaya

No comments:

Post a Comment