Friday, November 1, 2013

Khutbah Jumaat: GST tidak bebankan rakyat, susun semula sistem percukaian


NOVEMBER 01, 2013


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini meyakinkan hadirin bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat dan menyifatkannya sebagai kaedah penyusunan semula sistem percukaian negara.

Khatib berkata, dengan pelaksanaan GST, sistem percukaian negara juga akan dapat diurus tadbir dengan lebih berkesan, saksama dan efisien selain dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih.

“GST dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah pada setiap peringkat rangkaian pengedaran semua barang dan perkhidmatan, termasuk yang diimport melainkan yang dikecualikan oleh kerajaan. Kaedah percukaian ini dilaksanakan di beberapa buah negara luar. 

“Mimbar yakin pemerintah dalam usaha mengurus bajet kali ini akan melaksanakannya berdasarkan semangat Islam yang berpandukan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat selain tidak memudaratkan.

“Amalan berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan Allah di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, melakukan penyelewengan, menzalimi atau perkara yang merugikan pihak tertentu,” katanya dalam khutbah hari ini bertajuk “Memperteguh Ekonomi Ummah”.

Mimbar turut menyeru semua pihak bersama-sama berusaha dalam menjayakan bajet kali ini dengan memberi kerjasama serius dan teratur.

Katanya, usaha itu dapat dilakukan dengan memastikan urus tadbir terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan.

“Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggungjawab memperteguh ekonomi ummah ini adalah amanah Allah dan akan diperhitungkan di akhirat nanti.

“Yakinlah bahawa penguasaan ekonomi umat Islam adalah tuntutan dan keutamaan dalam Islam dan inilah yang sedang diperjuangkan oleh pemerintah negara.

“Ingatlah, sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi dan martabat umat yang akibatnya akan memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain,” katanya.

Khatib turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas pembentangan bajet yang disifatkan mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, langkah pengurusan kewangan secara berhemah membuktikan penghargaan kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

“Mimbar yakin pemerintah yang bertanggunjawab akan sentiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana dengan mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.

“Inilah masanya umat Islam perlu bertindak penuh keberanian bagi menyahut seruan pemerintah terutama berpaksikan kepada agenda memperkasakan ekonomi umat Islam.

“Janganlah kerana mengharapkan bulan dan bintang jatuh ke riba dan terpesona dengan bayangan palsu yang diciptakan oleh pihak musuh. Jangan mempersendakan usaha murni kerajaan yang sedang berjuang bagi membela dan mengangkat martabat ummah,” katanya.

Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat lalu mengumumkan pengenalan GST bermula April 2015 dan mencadangkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan pengurusan fiskal bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

Bagi mengatasi kesan GST, kerajaan akan menyediakan bantuan sebanyak RM300 di bawah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan kadar cukai pendapatan yang lebih rendah sebanyak 1% hingga 3% yang akan membolehkan 300,000 pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai.

Najib berkata, GST akan dikuatkuasakan 17 bulan dari sekarang dengan kadar enam peratus itu antara yang paling rendah dalam kalangan negara Asean.

Katanya, GST tidak akan dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air paip. Ia juga tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk pelanggan domestik.

Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan, tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada GST. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih turut dikecualikan daripada GST. – 1 November, 2013.

No comments:

Post a Comment