Friday, November 22, 2013

'Kadar tarif elektrik kekal'


2013/11/22 - 04:27:49 AM

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak melihat sebarang keperluan untuk menaikkan kadar tarif elektrik berikutan kestabilan harga minyak dunia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata harga runcit petrol dan diesel dunia kekal di bawah paras AS$100 dolar satu tong. 

“Kalau minyak sedang turun, kenapa pula nak kaji tarif elektrik. Kita tak boleh kata apa sekiranya perkara ini belum lagi jadi, lagipun saya tidak diberikan apa-apa taklimat mengenai tarif elektrik akan naik, selalunya kementerian kewangan akan dipanggil,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kajian tarif elektrik yang sedang dijalankan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. 

Menerusi kenyataan media sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bergantung sebanyak 70 peratus kepada gas yang dipengaruhi harga minyak dunia bagi menjana elektrik, manakala selebihnya bergantung kepada arang batu dan hidro.

Sasar KDNK 5.5 peratus

Ahmad juga berkata, kerajaan yakin negara bakal mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5 peratus tahun depan, berdasarkan asas ekonomi yang kukuh dan banyak projek dilaksanakan untuk memperkukuh lagi ekonomi. 

“Ekonomi Malaysia berada di landasan ke arah mencapai sasaran pertumbuhan setahun penuh sebanyak 4.5 peratus hingga lima peratus bagi 2013,” katanya pada sidang media mengenai seminar berkaitan pemerkasaan ekonomi, di sini, semalam. 

Ahmad berkata, bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum dilaksanakan, kerajaan akan mengadakan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional.

No comments:

Post a Comment