Thursday, November 28, 2013

ISU-ISU AKHBAR CINA


28 November 2013

MASA UNTUK KIT SIANG MENYUSUN PENGGANTI

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 21 November 2013 memaparkan tulisan Liew Suh Kian yang membandingkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Lim Kit Siang melalui ruangan Pendapat YuanLun.

Dr. Mahathir bertanya kepada Kit Siang bila mahu berundur? Adakah mahu memegang jawatan sehingga akhir hayat? Dr. Mahathir memang terkenal dengan terus terangnya dan keceluparan mulutnya.

Dalam masyarakat majmuk, yang berpolitik dan yang bekerja ada kalanya dituduh dan difitnah orang. Kebanyakan orang yang suka menuduh dan memfitnah itu biasanya memaparkan sikap sebenar mereka sendiri.

Ada juga orang yang yang dituduh itu tidak ambil peduli tentangnya kerana mempunyai agenda ataupun perjalanan yang berbeza, biarlah orang lain cakap apapun, mereka tidak melayannya. Kerana kes seperti itu, ada yang sanggup membela Kit Siang, menuduh orang Cina menganiaya Kit Siang.

Kit Siang telah memperjuangkan demokrasi negara kita selama puluhan tahun, ada masanya naik, ada masanya turun. Semua kaum mengenali Kit Siang.

Kit Siang dalam keadaan melawan arus yang begitu kuat telah menghambat keluar bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Diberitakan Abdul Ghani bertanding di Gelang Patah atas cadangan Dr. Mahathir, kekalahan itu pastinya Dr. Mahathir tidak akan lupa.

Soalan Dr. Mahathir itu, ada udang di sebalik batu, kesimpulannya maksud itu adalah jika bukan kerana Kit Siang sudah tentu Abdul Ghani kekal menjadi menteri. Ada sesetengah orang kata ia memalukan orang Cina kerana orang Cina terhutang budi kepada Kit Siang. Tetapi Kit Siang tidak sepatutnya kerana menang sudah pudar fikiran, sepatutnya muhasabah diri kenapa seseorang pemimpin itu kekal terlalu lama sehingga menyebabkan timbul banyak masalah dan fitnah.

Sepatutnya Kit Siang jadi contoh yang baik untuk DAP dengan memberi laluan kepada pelapis. Parti adalah sebuah pertubuhan orang ramai, ia juga mempunyai jangka hayat. Politik boleh diumpama satu taktik, boleh berubah pelbagai cara untuk menutup kerakusan dan niat peribadi seseorang.

Tetapi pembaharuan dalam pucuk pimpinan itu amat perlu. Umpama pokok yang sudah tua, akan tumbuh yang muda untuk kesinambungan. Pemimpin yang berkualiti bukan selamanya tidak melepaskan kuasa di tangan, mereka sepatutnya membuat persediaan mencari pengganti.

DAP pada mulanya bergerak secara solo kini telah wujudkan pakatan pembangkang, mengambil masa dan liku-liku yang sangat panjang. Kit Siang ialah pemimpin veteran dalam DAP, beliau hebat kerana mampu menggunakan tiga bahasa dengan baik, memang hebat berhujah di Dewan Rakyat. Apabila umurnya semakin hari semakin meningkat, sepatutnya beliau layak menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk teruskan perjuangan.

Saya anggap Kit Siang tidak perlu lagi garang seperti seekor harimau, beliau sepatutnya melepaskan kuasa dan kedudukannya kepada golongan muda, susun pengganti secara kemas dan lengkap.

Jika beliau dapat membentuk diri sebagai satu titik noktah yang unggul dalam arena politik sendiri, dengan secara baik menyusun pengganti, ramai yang akan dengan bangganya menyanjung beliau.

Satu masa nanti, walaupun DAP tiada Kit Siang, parti itu tetap akan bersatu, ini barulah boleh dikatakan kejayaan sebenar Kit Siang. Dalam hayat hidup seseorang, kita mempunyai pengalaman berbeza-beza, sekarang ini kuasa di tangan Kit Siang, sudahkah beliau membuat persediaan itu?

WARGA TAIWAN DAKWA MENTERI MALAYSIA PEMBOHONG?

AKHBAR China Press bertarikh 23 November 2013 memaparkan tulisan Tan Yen Fong dengan dakwaan berlakunya ‘pembohongan’ para menteri melalui ruangan Kedai Kopi Orang Ramai.

Perkataan “tidak terjejas" adalah kata-kata hikmah yang diperkatakan oleh semua menteri-menteri di negara ini! Kepulauan Sabah berlaku insiden pelancong Taiwan dibunuh, semua menteri dan Ketua Polis Negara sebulat suara berkata “insiden di Sabah tidak menjejaskan industri pelancongan, ini adalah kes terpencil".

Harga gula naik, mereka berkata “ia tidak menjejaskan rakyat!" Harga minyak naik, mereka berkata “ia tidak menjejaskan harga barangan, industri pengangkutan tidak boleh sewenang-wenangnya naikkan harga!" Harga elektrik naik, mereka berkata “ia tidak menjejaskan peluang untuk tarik pelabur asing dan tidak menjejaskan kehidupan rakyat!"

Lancarkan polisi bantuan ekonomi untuk bumiputera mereka berkata “ini untuk membalas budi dan jasa bumiputera yang menyokong Barisan Nasional (BN), kaum lain tidak terjejas." Apabila mahu lancarkan polisi cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mereka berkata “ia menguntungkan pembangunan ekonomi negara, ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat peringkat bawahan." Cukai pintu di Kuala Lumpur naik, mereka berkata “sudah bertahun-tahun harga cukai pintu tidak dinaikkan, ia tidak menjejaskan rakyat di bandar." Apabila mahu laksanakan skim gaji minimum, mereka berkata “ia tidak menjejaskan operasi industri perusahaan!"

Orang yang mengurus dan mentadbir negara ini, suka berlagak pandai. Walaupun ada suara-suara sumbang yang memedihkan telinga, mereka tetap tidak melayannya kerana ada muslihat tertentu. Mereka sering berkata “tak suka boleh berhijrah! Tak suka jangan datang melabur!" Sebenarnya, yang mereka tidak suka ialah orang yang tidak tahu mengenang budi dan berterima kasih.

Sebagai seorang menteri, mengapa tidak belajar cara untuk bercakap dengan lebih bagus ? Cakaplah sesuatu yang berisi dan bermakna. Janganlah anggap rakyat bodoh. Rakyat bijak dan mampu menilai.

Menteri menyesatkan rakyat dan negara. Selepas PRU ke-13, perkataan tahunan Cina yang sesuai dan hebat untuk seluruh negara adalah “kekecohan" terutama sekali orang yang suka bercakap sebarangan. Orang seperti ini sangat ramai sehingga tidak terbilang banyaknya, semakin cakap semakin bercelaru.

Adakah tiada langsung orang yang boleh halang mereka bercakap secara sebarangan itu? Sepatutnya Perdana Menteri boleh menasihati mereka, tetapi terhalang oleh rakan-rakan dalam parti yang dikhuatiri akan menentang. Kerana dihalang oleh kepentingan dalam politik dan permainan dalam pembahagian kepentingan, Perdana Menteri tidak boleh berbuat apa-apa terhadap mereka kecuali jika mereka kecundang semasa pemilihan parti. Jika tidak, kedudukan mereka dalam kerajaan tiada siapa yang boleh sentuh! Ini adalah satu tamparan hebat kepada demokrasi!

Kali ini pelancong Taiwan tidak bernasib baik dibunuh di perairan kepulauan Sabah, media Taiwan membongkar bahawa pegawai keselamatan yang bertugas tidur. Apabila Ketua Polis Negara dengar berita ini beliau melenting tetapi ini adalah liputan dari media luar negara, beliau tidak boleh marah mereka dan menafikannya sahaja.

Lebih teruk lagi, kata-kata yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan menyebabkan orang Taiwan marah, adakah Menteri Pertahanan tidak boleh bercakap lebih lembut dan sederhana sedikit? Ataupun sebut perkataan meminta maaf dan keluarkan kata-kata simpati?

Menteri-menteri mengelirukan sahaja rakyat negara ini, kami reda, apa boleh buat sudah nasib kami tetapi kami berharap mereka jangan abaikan nyawa pelancong-pelancong asing!

Diharap pelancong wanita Taiwan yang diculik itu dapat keluar dengan selamat, selepas ini janganlah datang ke Malaysia lagi. Walaupun rakyat di negara ini suka kehadiran tetamu, suasana pemandangan negara umpama sebentuk lukisan yang indah tetapi kerana menteri-menteri yang suka bohong kepada rakyat , disebabkan menteri-menteri ini bertindak liar, di sini bukan tempat pelancongan yang baik.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment