Wednesday, November 6, 2013

Hijrah daripada mentaliti subsidi


Oleh aBDUL RAZAK IDRIS

PERISTIWA Hijrah Rasulullah bersama para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah mengajar umat Islam seribu satu macam hikmah dan matlamat.

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah merupakan titik tolak perpindahan daripada kesengsaraan kepada kegemilangan Islam yang mana akhirnya membawa kepada ketamadunan Islam yang menjadi simbol keagungan di mata dunia.

"Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberi rahmat kepadanya, keredaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal." - surah At-Taubah ayat 20-21

Namun apabila bercakap mengenai peristiwa hijrah dan hikmahnya, sebenarnya ada sikap sekelompok rakyat negara ini yang kebanyakannya pengundi atas pagar yang langsung tidak mengambil pengajaran darpadai peristiwa besar yang berlaku kira-kira 1434 tahun lalu itu. Pendek kata, jika kelompok ini mendapat sesuatu yang mendatangkan keuntungan jangkapendek seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan awal persekolahan RM100 dari kerajaan maka berbakul pujian dihamburkan hingga boleh lencun dibuatnya.

Namun apabila menyebut soal pengurangan subsidi minyak petrol dan pemansuhan subsidi gula puji-pujian semakin lemah, timbul pula komen dan kritikan agak pedas. Telinga yang rasional mendengar pada mulanya seakan mahu dipekakkan.

Kesimpulan yang dapat dibuat, mentaliti subsidi rakyat negara ini dari zaman subsidi baja tanaman tahun 1970-an hingga zaman BR1M 3.0 masih berada di takuk lama. Seakan penyakit genetik yang tidak dapat diubati lagi. Kadangkala perangai masyarakat kita terutama dalam kalangan penyokong pembangkang yang terlalu taksub dengan duit Petronas yang menjadi penyumbang utama dana kerajaan untuk bajet negara sukar difahami.

Petronas bukannya angsa bertelur emas untuk selama-lamanya, mungkin satu hari nanti kerajaan memerlukan sumber dana lain seperti cukai untuk menampung bajet negara. Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 misalnya adalah penghijrahan pendekatan kerajaan untuk memastikan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan kerajaan dilakukan dengan lebih efisien tanpa meninggalkan lompong-lompong, hingga menyebabkan ketirisan dalam pelaksanaan undang-undang percukaian negara.

Menjelang 2020, kerajaan beriltizam untuk menjadikan negara kita sebagai negara yang mempunyai rakyat berpendapatan tinggi, namun jika begini mindanya maka hanya etnik tertentu dan ekspatriat yang akan melambung pendapatan mereka.

Seharusnya pada awal tahun hijrah 1435 ini, kita membulatkan tekad untuk berhijrah dari 'istiqamah' menjadi 'asnaf' penerima BR1M yang diperuntukkan untuk yang berpendapatan sehingga RM4,000 seisi rumah. Bukan berniat untuk memandang rendah golongan ini, seharusnya jika orang memberi bunga balaslah dengan pujian mengharum bukannya menuduh kerajaan tanpa usul periksa.

Lebih menyedihkan kelompok ini ibarat menyiram air di daun keladi, apa sahaja yang kerajaan lakukan untuk mereka tidak memberi kesan emosi kepada mereka. Apa yang kerajaan lakukan dianggap semata- mata untuk membeli undi pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Sedangkan PRU hanya 13 kali dalam 56 tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikenali sebagai Parti Perikatan sebelum itu telah menyumbang jasa secara konsisten melalui dasar dan bajet untuk membantu rakyat menjangkau lebih setengah abad. Cuma apabila berlaku krisis politik pada penghujung milenium lalu segalanya ibarat kuman di seberang laut nampak gajah di depan mata buat tak peduli sahaja.

Sedangkan selama ini kerajaan yang dipimpin oleh BN baik-baik sahaja merangka kehidupan rakyat negara ini. Mengapa selepas berlaku krisis politik tersebut peranan BN membangunkan dan memajukan negara dipandang sepi. Seolah-olah kewujudan kerajaan atas faktor individu bukan faktor perpaduan antara parti komponen pelbagai bangsa yang ditunjangi UMNO.

Dalam tempoh tidak sampai tujuh tahun mentari 2020 akan bersinar gemilang, kita perlu mengubah minda dan sikap untuk tidak lagi mengharapkan subsidi mahupun bantuan dari kerajaan kerana di negara ini segala kemudahan dan bantuan untuk menambahkan pendapatan telah disediakan oleh kerajaan. Apa yang perlu ada pada kita untuk keluar dari daripada label penerima subsidi adalah dengan meningkatkan taraf hidup dan keluar daripada kepompong kehidupan yang serba kekurangan dan kesempitan.

Ingatlah ada seribu satu cara untuk kaya dan berjaya, carilah ia di luar sana dengan tekun dan sabar. Cuma ada satu penghalang untuk kita berjaya dan menjadi seseorang berpendapatan tinggi iaitu masih mengekalkan minda dan mentaliti subsidi. Yang bukan sahaja membantutkan produktiviti malahan menyekat kreativiti dan kapasiti diri untuk menjadi jutawan Muslim yang dihormati.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment